Selasa, 8 September 2020 | 5:18pm
ABDUL Halim (lima dari kiri) dan Zakaria (tiga dari kiri) bersama empat wakil koperasi yang menerima Bantuan Pembangunan dan Tabung Modal Pusingan di KOMTAR, Georgetown, baru-baru ini. NSTP/Zuhainy Zulkiffli
ABDUL Halim (lima dari kiri) dan Zakaria (tiga dari kiri) bersama empat wakil koperasi yang menerima Bantuan Pembangunan dan Tabung Modal Pusingan di KOMTAR, Georgetown, baru-baru ini. NSTP/Zuhainy Zulkiffli

SKM lancar koperasi digital, KOPIN

Georgetown: Usahawan khususnya golongan muda disaran mengambil peluang dengan menyertai Program Melestari Perniagaan Koperasi Melalui Digital bagi memperluaskan pasaran dan perniagaan mereka.

Program yang dilancarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama kerajaan negeri membolehkan usahawan menggunakan platform PGMall dan eBiz Co-op Mart bagi memasarkan barangan koperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri Datuk Abdul Halim Hussain berkata, inisiatif itu adalah bagi melestarikan penggunaan digital seiring dengan perkembangan terkini teknologi.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja bagi merealisasikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) tetapi turut memberi pendedahan perniagaan secara efisien kepada gerakan operasi selain berperanan memberi ilmu perniagaan secara dalam talian di negeri itu.

"Kita sudah mengadakan kursus bagi menghadapi IR4.0 sebelum ini namun berikutan Covid-19 didapati penggunaan platform digital dalam perniagaan adalah berkesan dan menjadi satu keperluan.

"Di negeri ini, bidang kewangan, pemborongan dan peruncitan adalah yang paling aktif," katanya.

Abdul Halim ditemui selepas merasmikan majlis program berkenaan dan pelancaran Koperasi Rakyat Pulau Pinang Berhad (KOPIN) di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) baru-baru ini.

Pada majlis itu, SKM turut menyalurkan peruntukan Bantuan Pembangunan berjumlah RM85,000 dan fasiliti pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) berjumlah RM1.5 juta kepada empat koperasi di Pulau Pinang.

Sementara itu, Zakaria berkata, terdapat 748 koperasi di negeri itui dan separuh daripadanya sudah tidak aktif atas pelbagai faktor.

Menurutnya, 46,000 daripada 128,000 ahli koperasi di negeri itu terdiri dalam kalangan pelajar.

"SKM mensasarkan seramai 500,000 penduduk akan menjadi anggota KOPIN menjelang Disember 2020.

"Diharap anggota koperasi lebih kreatif dan bijak mengambil peluang termasuk dalam Ekonomi Gig," katanya lagi.

Sementara itu, Pengurus Koperasi Qaryah Masjid Bertam Indah Kepala Batas Berhad Azmi Ismail berkata, pihaknya menerima TMP sebanyak RM50,000 bagi membangunkan koperasi yang diusahakan bersama 500 ahlinya.

Katanya, koperasi itu diusahakan sejak 16 tahun lalu dengan pusingan modal sebanyak RM16,000 dan turut memasarkan barangan menerusi jualan dalam talian.

"Setiap ahli menerima dividen sebanyak 10 peratus dan produk yang dijual adalah keluaran Muslim dan diusahakan penduduk kampung," katanya.

Berita Harian X