Khamis, 3 September 2020 | 5:47pm
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Foto NSTP
Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Foto NSTP

TNB anugerah biasiswa kepada 93 pelajar lanjut pengajian

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menganugerahkan biasiswa kepada 93 pelajar cemerlang walaupun ketika landskap ekonomi dan perniagaan negara dalam keadaan tidak menentu.

Biasiswa yang diberikan menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) itu adalah komitmen TNB membantu pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya berkeyakinan pendidikan menjadi aset penting yang boleh membawa perubahan kehidupan lebih baik kepada keluarga serta generasi akan datang.

"TNB dan YTN berhasrat dapat membentuk pelajar yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, malah memperkasakan bakat kepemimpinan yang tinggi dalam diri mereka

"Tajaan ini adalah komitmen berterusan TNB membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membangunkan modal insan menerusi pendidikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam Majlis Penganugerahan Biasiswa YTN 2020 di Bangi hari ini, Mahdzir menyerahkan anugerah kepada 93 pelajar terpilih daripada 7,700 pemohon untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi tahun akademik 2020.

Daripada jumlah itu, sebanyak 73 pelajar melanjutkan pengajian di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), manakala 20 orang lagi di universiti luar negara.

Turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Pegawai Insan TNB, Datuk Muhammad Razif Abdul Rahman; Pengarah YTN, Datuk Ir Dr Ibrahim Hussein dan Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1993, YTN membelanjakan lebih RM1.1 bilion dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada lebih 16,000 pelajar cemerlang bagi melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Tajaan pengajian ini adalah sebahagian sumbangan TNB kepada masyarakat di bawah program tanggungjawab korporat (CSR) yang meliputi bidang pendidikan, sosio ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.

Berita Harian X