Khamis, 3 September 2020 | 2:53pm
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil. - Foto BERNAMA
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil. - Foto BERNAMA

Perlu ada garis panduan terima, beri hadiah korporat

PUTRAJAYA: Syarikat korporat perlu mempunyai garis panduan jelas mengenai penerimaan atau pemberian hadiah termasuk bentuk wang tunai, dalam usaha mencegah rasuah dalam organisasi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata elemen itu adalah di antara kandungan Garis Panduan Menteri mengenai Tatacara Mencukupi Bagi Prinsip Liabiliti Korporat.

Beliau berkata, ketika ini senarai semak itu sudah dimuktamadkan untuk dibentang kepada pengurusan tertinggi suruhanjaya itu, dan apabila diluluskan kelak, boleh digunakan organisasi korporat.

"Terpulang kepada organisasi korporat untuk menyesuaikan dengan keperluan masing-masing. Secara peribadi, saya tidak setuju dengan tindakan sesetengah organisasi yang mempunyai dasar tidak boleh memberi hadiah kerana apabila ia dilaksanakan bermakna tiada sebarang hadiah boleh diberikan atau diterima, beri hadiah korporat pun tidak boleh.

"Sebaliknya, perlu ada satu garis panduan yang menetapkan apa yang boleh diterima, bentuk hadiah serta jika ia dalam bentuk wang, berapa nilai yang dibenarkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Anti Rasuah Malaysia ke-dua, di sini, hari ini.

Shamshun berkata, peruntukan undang-undang baharu itu mengambil contoh perundangan sama yang diguna pakai di United Kingdom, yang mempunyai dasar jelas membabitkan dasar pemberian hadiah, derma dana politik, penajaan serta pemberi maklumat.

Beliau berkata, garis panduan itu perlulah telus dan dimaklumkan kepada semua yang terbabit dalam organisasi komersil itu selain boleh diaudit.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptamanya, Shamshun berkata, di bawah Subseksyen 5, Seksyen 17A Akta SPRM itu, Garis Panduan Menteri itu perlu disediakan dalam membantu organisasi komersil memahami apa yang dimaksudkan sebagai Tatacara Mencukupi yang mereka boleh laksanakan.

Katanya, lima prinsip yang dinyatakan dalam garis panduan itu membabitkan apa yang dinamakan sebagai TRUST, iaitu komitmen pengurusan tertinggi; penilaian risiko; mengambil langkah kawalan; penilaian, pemantauan dan penguatkuasaan bersistematik serta latihan dan komunikasi.

Shamshun berkata, pihaknya sedar dengan pelbagai persoalan mengenai Tatacara Mencukupi yang dinyatakan dalam peruntukan baharu itu.

Beliau berkata, organisasi komersil tidak perlu bimbang atau berasa panik selagi langkah pencegahan rasuah mencukupi dilaksanakan.

Katanya, langkah-langkah ini boleh juga mempunyai inisiatif seperti Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 37001, Corruption Risk Management (CRM), Corporate Integrity Pledge 2.0, serta Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

"Tatacara Mencukupi mungkin berbeza-beza antara satu organisasi dengan organisasi lain. Sebagai contoh, syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mungkin mempunyai lebih banyak peruntukan dan modal insan dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah yang lebih komprehensif berbanding dengan syarikat kecil dan sederhana.

"Bagi saya, apa yang penting bagi kita ialah untuk menerima semangat perundangan baharu ini. Kita perlu memahami bahawa objektif atau fungsi utama peruntukan baharu ini adalah untuk mempromosikan tadbir urus baik dalam organisasi komersil dengan memberi penekanan kepada langkah-langkah atau inisiatif pencegahan rasuah.

"Ini sangat penting kerana bukan saja tadbir urus baik mempromosikan ketelusan dalam urusan perniagaan, ia juga memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu perniagaan dan industri adalah mampan," katanya.

Shamshun berkata, peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan bermula Jun lalu, membolehkan organisasi komersial dipertanggungjawabkan terhadap sebarang perilaku rasuah yang dilakukan individu berkaitan dengan mereka jika perbuatan itu untuk dimanfaatkan syarikat terbabit.

Katanya, walaupun tempoh dua tahun yang diberikan mencukupi untuk organisasi komersil bersedia terhadap kepatuhan, pengenalan dan penguatkuasaan peruntukan undang-undang baharu itu,ia sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti terbabit di negara ini.

Beliau berkata, ia berikutan mereka tidak mempunyai maklumat atau pemahaman mencukupi terhadap peruntukan baharu itu.

Berita Harian X