Khamis, 3 September 2020 | 12:57pm

Parti khusus orang muda tidak akan berjaya - Tun M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk menubuhkan parti khusus golongan muda, tidak akan berjaya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, biarpun golongan muda mewakili majoriti yang besar dalam senarai pemilih, namun ia masih tidak mencukupi untuk memenangi sesebuah kawasan pilihan raya.

"Saya tidak tahu kenapa beliau mahu menubuhkan parti baharu (khusus golongan muda), saya berpendapat ia tidak akan berjaya kerana kita memerlukan sokongan daripada semua orang.

"Tidak cukup untuk menang jika kita hanya mendapat sokongan dan undi orang muda," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Syed Saddiq baru-baru ini mengumumkan akan menubuhkan parti berasaskan golongan orang muda.

Pengumuman itu sekali gus menjadikan beliau satu-satunya Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Dr Mahathir tetapi tidak menyertai PEJUANG.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, PEJUANG tiada sebarang masalah untuk bekerjasama dengan parti baharu diketuai Syed Saddiq, jika berkongsi prinsip dan perjuangan yang sama untuk menentang rasuah.

Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto NSTP
Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto NSTP
Berita Harian X