Rabu, 2 September 2020 | 5:52pm

COVID-19: Satu lagi kes positif daripada Kluster MV Glen

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kes baharu daripada Kluster MV Glen membabitkan isteri kepada kes positif kluster itu yang dilaporkan pada 30 Ogos lalu.

Setakat ini 58 individu daripada kluster itu sudah disaring, yang mana tiga disahkan positif, 16 negatif dan 39 masih menunggu keputusan ujian saringan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes baharu daripada kluster itu dikenal pasti susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.

"Saringan sign-on dan sign off penting kerana ia antara langkah bagi memantau kawalan sempadan negara di Perairan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan sudah dibangunkan bagi pelaut yang memasuki Malaysia melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

"KKM bersama Jabatan Laut Malaysia mengambil pelbagai langkah bagi memantau dan memperketatkan sempadan negara di Perairan Malaysia.

"Ini termasuk proses pertukaran anak kapal bermula dari sign-on ke kapal hingga sign-off dari kapal dan proses kuarantin wajib di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan," katanya.

Kluster MV Glen dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor dengan kes indeks kluster dilaporkan positif pada 25 Ogos lalu.

Kes indeks bagi Kluster MV Glen adalah seorang kru kapal yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X