Rabu, 2 September 2020 | 3:22pm

'Saya mahu jaga ibu selepas 20 tahun terlepas peluang' - banduan Al-Maunah

MACHANG: "Sepanjang berada dalam penjara, ibu tidak pernah henti berdoa agar saya dibebaskan. Berkat doanya, saya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembebasan ini," kata Ahmad, 50, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Chondong, hari ini

Ahmad adalah di antara 13 banduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mengurniakan pembebasan awal kepada mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada tahun ini.

Katanya, dia dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2000 mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai Pertubuhan Al-Ma'unah.

"Saya mula menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh pada 2000 selama setahun, kemudian dipindahkan ke Penjara Kajang selama 10 tahun dan dihantar pula ke Penjara Pengkalan Chepa selama lapan tahun dan 42 hari di Penjara Kajang sebelum dibebaskan pada 17 Ogos lalu.

"Sepanjang dalam penjara, setiap hari saya hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan untuk memperoleh pengampunan Yang di-Pertuan Agong kerana tidak sabar melihat dunia luar yang ditinggalkan sejak dua dekad lalu, selain mahu menjaga ibunya yang sudah uzur.

"Alhamdulillah, akhirnya doa saya dan ibu diperkenankan. Saban tahun, saya amat menantikan saat untuk dibebaskan. Sepanjang 20 tahun dalam penjara, sudah lima kali saya menghantar surat mohon pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Ahmad berkata, di saat pegawai penjara membaca nama lapan banduan di Penjara Kajang yang dibebaskan selepas mendapat Yang di-Pertuan Agong, dia terkejut dan pada masa sama tidak percaya dia adalah salah seorang daripada mereka, namun itulah kebebasan yang dinantikan selama ini.

"Kini saya sudah bebas. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya Yang di-Pertuan Agong kerana memberi perkenan dan ia ibaratkan peluang kedua untuk saya menjadi insan lebih baik," katanya.

Katanya, sepanjang menjalani hukuman penjara, banyak perkara yang dipelajarinya selain al-Quran menjadi pegangan hidup ketika melalui hari-hari mendatang di sebalik tembok batu yang memisahkannya dengan dunia luar dan menggunakan sepenuh masa yang ada bagi memperbaiki diri dengan mendalami ilmu agama.

"Pada masa sama, sepanjang berada di penjara, ia mengajar saya banyak erti kebebasan yang sebenar apabila kita terpisah dari dunia luar.

"Mungkin pada pandangan masyarakat, penjara adalah satu tempat yang 'hitam' namun sebenarnya masih banyak perkara positif yang boleh kita belajar di dalamnya," katanya.

Anak keenam daripada 11 beradik ini berkata, dia merancang untuk membuka kedai jahitan untuk menyara kehidupan menggunakan kemahiran jahitan yang dipelajari di penjara.

"Selain itu, saya juga mahu memberi sepenuh perhatian kepada ibunya yang terlantar sejak tiga tahun lalu disebabkan sakit tua, selain kedua-dua matanya juga kabur.

"Walaupun mempunyai adik beradik lain, biarlah saya yang menjaga dan menguruskan segala keperluan ibu memandangkan sudah 20 tahun saya terlepas peluang berbakti kepadanya," katanya.

AHMAD mengurus serta menjaga ibunya yang uzur disebabkan sakit tua ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Chondong. NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
AHMAD mengurus serta menjaga ibunya yang uzur disebabkan sakit tua ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulai Chondong. NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Berita Harian X