Ahad, 30 Ogos 2020 | 6:41pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Masyarakat diingati lindungi kumpulan mudah dijangkiti COVID-19

PUTRAJAYA: Masyarakat diingatkan untuk melindungi kumpulan mudah dijangkiti termasuk warga emas dan wanita hamil yang berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19.

Selain warga emas dan wanita hamil, kumpulan mudah dijangkiti termasuk pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan pesakit imuniti rendah, iaitu kanser dan HIV.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seperti semua sedia maklum, kumpulan yang berisiko tinggi adalah lebih rentan jangkitan termasuk penyakit COVID-19.

"Kumpulan yang rentan ini (vulnerable group) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19.

"Justeru, adalah penting agar kumpulan berkenaan mengelakkan ke tempat tumpuan ramai, mematuhi prosedur standard operasi (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan, memakai pelitup muka, di tempat sesak dan sempit seperti yang diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos lalu, terutamanya sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan.

"Mereka juga perlu segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat; kekalkan kebersihan diri sepanjang masa, makan makanan seimbang, dan kekal aktif," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab ahli keluarga atau penjaga yang tinggal bersama individu daripada kumpulan itu untuk memastikan individu terbabit mendapat rawatan segera jika mempunyai gejala dan memastikan amalan kebersihan diri.

Katanya, bagi komuniti yang tinggal di kawasan sama, mereka disarankan mengamalkan penjarakan fizikal dengan individu terbabit setiap masa iaitu sekurang-kurangnya semeter agar mereka terus dilindungi daripada jangkitan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X