Sabtu, 29 Ogos 2020 | 5:27pm

Usul Guan Eng bermotif politik - pegawai Azmin

KUALA LUMPUR: Usul Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, untuk merujuk Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kepada ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) didakwa bersifat politik.

Pegawai Tugas-Tugas Khas (Parlimen) Pejabat Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lim Wei Urn, mendakwa ketika sidang Dewan Rakyat, Mohamed Azmin sudah menegaskan bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bersetuju supaya Malaysia meratifikasi CPTPP.

Beliau berkata, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan bahawa persetujuan itu dibuat Jemaah Menteri pada 5 September 2018 supaya Malaysia meratifikasi CPTPP, namun tidak menetapkan tempoh khusus untuk ratifikasi itu.

"Justeru, usul Ahli Parlimen Bagan untuk merujuk Mohamed Azmin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan itu adalah bersifat politik dan beliau cuba mengalih pandangan awam kepada masalah yang sedang dihadapi oleh DAP.

"Bagan perlu menggalas tanggungjawab untuk memberi tumpuan kepada usaha menangani penularan COVID-19 dan menghentikan politik sempit yang akan merugikan rakyat dan negara, " katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, mengemukakan usul bagi mengheret Mohamed Azmin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Bekas Menteri Kewangan itu dilaporkan berkata, Mohamed Azmin memilih tidak melaporkan fakta tertentu ketika memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan PH meratifikasi Perjanjian CPTPP.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menolak usul Guan Eng berdasarkan fakta yang dikemukakan untuk pertimbangan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Berita Harian X