Sabtu, 29 Ogos 2020 | 3:16pm
PENGUNDI menunjukkan jari dicelup menggunakan dakwat kekal di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Trolak Pekan, pada PRK DUN Slim, hari ini. Foto/Sharul Hafiz Zam
PENGUNDI menunjukkan jari dicelup menggunakan dakwat kekal di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Trolak Pekan, pada PRK DUN Slim, hari ini. Foto/Sharul Hafiz Zam

PRK Slim: 53 peratus keluar mengundi setakat jam 2 petang

SLIM RIVER: Sebanyak 53 peratus penduduk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, setakat jam 2 petang ini.

Ketika ini proses pengundian masih rancak berlangsung dengan pengundi masih ramai yang mengunjungi pusat mengundi, biarpun cuaca di sini agak panas terik petang ini.

Apa yang dapat dilihat kepada trend pengundian hari ini, di sebelah pagi ramai pengundi warga emas atau saluran satu dan dua keluar mengundi berbanding saluran tiga dan ke bawah.

Langkah ini sebahagian daripada susun atur pergerakan dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak kesesakan di pusat pembuangan undi, selain usaha mengawal penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, pada sidang media tengah hari tadi memaklumkan, biarpun susun atur berkenaan dibuat, masih ada pengundi di saluran tiga dan ke bawah mengambil keputusan mengundi di sebelah pagi.

Situasi ini kata beliau, berlaku oleh kerana mereka datang bersama keluarga atau membawa ibu bapanya untuk mengundi.

"Jadi mereka datang mengundi sekali pada sebelah pagi," katanya sambil memaklumkan bahawa SPR tidak sama sekali menghalang untuk mereka menunaikan tanggungjawabnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan 85 peratus pemilih akan keluar mengundi pada PRK kali ini.

Berita Harian X