Sabtu, 29 Ogos 2020 | 11:43am
Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berswafoto bersama petugas SPR ketika melawat pusat mengundi pada PRK DUN Slim, di Sekolah Kebangsaan Trolak Utara hari ini. - Foto BERNAMA
Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berswafoto bersama petugas SPR ketika melawat pusat mengundi pada PRK DUN Slim, di Sekolah Kebangsaan Trolak Utara hari ini. - Foto BERNAMA

PRK Slim: Calon bertanding terima apa saja keputusan malam ini

SLIM RIVER: Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sedia menerima apa saja keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang akan diumumkan, malam ini.

Ditemui media selepas mengadakan lawatan ke pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Besout 5, beliau juga mengharapkan pengundi beramai-ramai turun menunaikan tanggungjawab mereka, sebelum pusat pengundian ditutup jam 5.30 petang ini.

"Kita harap semua pengundi iaitu lebih 23,000 pengundi dapat jalankan tanggungjawab. Apa saja keputusan malam ini kita terima," katanya.

Beliau yang hadir berpakaian kemeja batik, tiba di sekolah berkenaan sekitar jam 8 pagi dan turut dibawa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninjau perjalanan pengundian di sekolah berkenaan.

SK Besout 5 antara 12 pusat daerah mengundi di bawah DUN Slim. Seramai 1,629 pengundi akan membuang undi di sana.

Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi beramah mesra bersama masyarakat orang asal Kampung orang asli Sungai Teras ketika kempen Pilihan Raya Kecil N58 DUN Slim, pada Rabu. - NSTP/Hazreen Mohamad
Calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi beramah mesra bersama masyarakat orang asal Kampung orang asli Sungai Teras ketika kempen Pilihan Raya Kecil N58 DUN Slim, pada Rabu. - NSTP/Hazreen Mohamad

Mengulas lanjut, Amir turut memuji persiapan dibuat SPR dalam menerima kehadiran pengundi termasuk aspek kebajikan yang turut diberi perhatian agensi itu.

"Saya telah melihat semua saluran (di SK Besout 5), kita sangat puji usaha SPR. Saya memuji usaha yang telah dibuat, lebih-lebih lagi tadi saya nampak ada kemudahan OKU (orang kurang upaya) disediakan.

"Kita harus puji. Saya menyeru bagi pengundi yang belum keluar rumah mengundi, mari jalankan tanggungjawab bersama," katanya.

PRK DUN Slim adalah PRK kedua yang diadakan dalam suasana norma baharu selepas PRK DUN Chini bulan lalu.

Pengundi diharap menunaikan tanggungjawab mereka, sebelum pusat pengundian ditutup jam 5.30 petang. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Pengundi diharap menunaikan tanggungjawab mereka, sebelum pusat pengundian ditutup jam 5.30 petang. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Galeri Pilihan Raya Kecil DUN Slim

Berita Harian X