Jumaat, 28 Ogos 2020 | 3:29pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Peguam dakwa RM1.45 bilion berkaitan skandal 1MDB di UK, belum terusik

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu yang tiada sebarang pergerakan terhadap wang berjumlah AS$340 juta (RM1.45 bilion) milik PetroSaudi International Ltd (PSI) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tarek Obaid, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Alex Tan yang mewakili PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Ltd (POSL), berkata wang terbabit masih kekal disimpan dalam akaun firma undang-undang antarabangsa Clyde & Co di London dan Barclays Bank di bawah penama 'Temple Fiduciary Services.

"Saya percaya tiada pergerakan wang itu dan ia kekal berada dalam akaun escrow (akaun transit).

"Klien saya mematuhi perintah Yang Arif bertarikh 16 Julai lalu (perintah pembekuan sementara dana)....Oleh itu tidak ada asas untuk menyatakan ia boleh menyebabkan prejudis kepada pihak pendakwaan.

"Perintah ad-interim (sementara) akan terus kekal sehingga permohonan utama (perintah sekatan daripada menjalankan apa-apa urusan ke atas dana) diputuskan mahkamah," katanya.

Tan berkata demikian dalam prosiding permohonan Pendakwa Raya untuk mendapatkan perintah sekatan terhadap pihak yang memegang harta itu daripada menjalankan sebarang urusan berhubung dana berkenaan.

Daripada jumlah AS$340 juta itu, Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos lalu, membenarkan permohonan POSL untuk menggunakan sejumlah AS$1.357 juta bagi bayaran perbelanjaan perniagaan dan yuran guaman.

Ia susulan keputusan mahkamah membenarkan permohonan syarikat itu meminda perintah pembekuan interim diperoleh kerajaan yang melarang syarikat itu mengalihkan wang kepada entiti lain.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, mewakili Pendakwa Raya selaku pemohon, berkata proses menguatkuasakan perintah pembekuan sementara itu di mahkamah UK, adalah di luar kawalan pihaknya.

Beliau berkata, oleh itu ada keperluan mendesak untuk mempercepatkan pendengaran permohonan Pendakwa Raya mendapatkan perintah sekatan terhadap harta berkenaan.

Terdahulu, Muhammad Izzat memberitahu mahkamah, pihaknya berdepan kesukaran dalam menguatkuasakan perintah pembekuan sementara itu di mahkamah UK.

Muhammad Izzat berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai masalah dihadapi Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) UK untuk mendaftarkan perintah itu di mahkamah UK melalui e-mel bertarikh 21 Ogos lalu.

Sementara itu, Tan dan Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili Tareq, memohon supaya pendengaran permohonan Pendakwa Raya yang ditetapkan hari ini ditangguhkan supaya mereka boleh memfailkan afidavit jawapan bagi menjawab isu baharu yang dibangkitkan Pendakwa Raya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menangguhkan pendengaran kepada 15 September depan.

Dalam perintah sekatan itu, Pendakwa Raya selaku pemohon menamakan, Tarek,PSI, POSL,Clyde & Co dan Temple Fiduciary Services, sebagai responden pertama hingga kelima.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas memperoleh perintah pembekuan sementara itu, berkata agensi itu percaya wang terbabit mempunyai kaitan dengan konspirasi penipuan antaranya membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak; Tareq; ahli perniagaan Jho Low dan individu berkaitan 1MDB serta anak syarikatnya.

Berita Harian X