Jumaat, 28 Ogos 2020 | 11:18am
 Bendera BN dipasang di sekitar pekan Slim River sempena PRK DUN Slim, esok. - Foto Sharul Hafiz Zam
Bendera BN dipasang di sekitar pekan Slim River sempena PRK DUN Slim, esok. - Foto Sharul Hafiz Zam

Cabaran hebat bakal YB baharu

Esok, seramai 22,749 pengundi biasa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan memilih wakil rakyat baharu.

Persaingan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim membabitkan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan dua calon Bebas, S Santharasekaran serta Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Penyertaan Amir Khusyairi direstui kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Sepanjang tempoh berkempen bermula 15 Ogos lalu, antara isu dibangkitkan penduduk setempat adalah masalah banjir kilat di Kampung Klah Baru, Trolak, Pekan Slim dan Kuala Slim yang membelenggu 7,000 penduduk sejak sekian lama.

Masalah penduduk Orang Asli di empat kampung menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air bersih juga diketengahkan, selain kemudahan bekalan elektrik yang masih ditunggu-tunggu penghuni 17 rumah di Kampung Orang Asli Sungai Teras selepas 27 rumah lain menerima kemudahan itu Ahad lalu.

Bagi penduduk kawasan FELDA pula, mereka bukan sahaja mengharapkan tiada lagi penangguhan projek perumahan generasi kedua di FELDA Besout 2, malah menaruh harapan akan ada penambahan penempatan untuk generasi itu.

Semua isu dan masalah dibangkitkan menghadirkan cabaran agak hebat untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang baharu, perlu mencari jalan memenuhi keseimbangan keperluan generasi lama dan baharu, termasuk Orang Asli, kampung tradisional dan kawasan FELDA.

Kelebihan dilihat lebih memihak kepada Mohd Zaidi yang bukan saja dibantu jentera pilihan raya UMNO, tetapi juga parti komponen dan rakan BN yang bergerak tanpa henti di DUN Slim, antaranya dikatakan mahu menimbulkan 'mood' momentum ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 ( PRU-15).

Kerjasama dan permuafakatan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) diterjemahkan dengan berkesan. BN, UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berjaya membentuk jentera pilihan raya cukup besar bagi merintis kemenangan buat Mohd Zaidi.

Peluang Santharasekaran, 44, untuk mencipta kejutan dilihat hampir tiada. Sepanjang tempoh berkempen, beliau hanya ditemani abang ipar dan seorang rakan serta memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda miliknya untuk bertemu pengundi.

Saingan terdekat BN dilihat dari Amir Khusyairi, 38, yang dibantu pemimpin PEJUANG seperti Dr Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta barisan pimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) diketuai Mohamad Sabu, selain beberapa pemimpin PKR dan DAP dalam kempennya.

Semalam, buat kali pertama, Dr Mahathir turun berkempen yang diharap dapat menarik sokongan pengundi khususnya warga peneroka FELDA kepada Amir Khusyairi.

Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat, Mohd Zaidi yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berpeluang cerah menang selesa, berdasarkan trend pengundian pada PRU lalu dan sambutan ketika kempen dengan jangkaan meraih sekurang-kurangnya 12,000 undi.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed seperti dilaporkan BERNAMA, berkata penyokong tegar UMNO dan PAS dibantu penyokong BERSATU, akan memastikan kemenangan BN.

"Ini kawasan pengundi majoriti Melayu, termasuk peneroka FELDA. Berdasarkan pola pengundian pada empat PRU lalu, PAS mempunyai pengundi tegar, sebab itu calon mereka sentiasa dapat undi kira-kira 4,000 undi. UMNO pula berdasarkan prestasi, 8,000 lebih undi diperoleh.

"Ini menunjukkan pola pengundian berdasarkan penyokong tegar UMNO dan PAS, calon BN boleh mencapai 12,000 undi," katanya sambil menambah, kedua-dua calon Bebas dilihat tidak mampu meraih sokongan untuk mengatasi calon BN.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, pula berkata barisan pemimpin tertinggi BN berkempen seolah-olah PRK Slim adalah PRU, berbeza dengan pemimpin PH.

Katanya, jika BN meraih kemenangan di DUN Slim, ia boleh dilihat sebagai isyarat rakyat menerima parti dalam kerajaan PN sebagai sebuah pasukan yang pastinya akan merangsang kerjasama mereka pada Pilihan Raya Negeri Sabah, bulan depan.

Bagi pengundi di DUN Slim yang ditemui BH baru-baru ini, harapan mereka adalah wakil rakyat baharu adalah seseorang yang mudah didekati, memberi perkhidmatan terbaik dan mampu meneruskan usaha dirintis bekas penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib.

Zalila Mohamed Sapi, 45, dari Kampung Kuala Slim berharap wakil rakyat baharu memperjuangkan nasib golongan kurang berkemampuan, ibu tunggal, warga emas dan anak yatim, manakala Fatin Humairah Nor Hisham, 28, dari FELDA Besout 1, mahu pemimpin berjiwa rakyat, berwibawa dan mudah didekati, mesra serta memperjuangkan nasib generasi baharu FELDA.

Penduduk Kampung Baru, P Muthusamy, 49, pula berharap wakil rakyat baharu mengusahakan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi untuk mewujudkan lebih banyak peluang kerja, sekali gus mengelakkan penghijrahan orang muda.

Berita Harian X