Khamis, 27 Ogos 2020 | 2:25pm

KPKT akan wujud mekanisma baharu pantau projek perumahan

KUALA LUMPUR: Mekanisma baharu akan diguna pakai bagi mengawal pemaju daripada berterusan membina projek perumahan tidak bertepatan dengan kehendak pasaran.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata ia membabitkan pembangunan sistem data menyeluruh yang akan membantu kementerian menentukan hala tuju tepat bagi pemaju projek perumahan.

Katanya, ia berikutan banyak unit rumah tidak terjual dalam tempoh lima hingga 10 tahun lalu, sekali gus menyebabkan pemaju dikenakan cukai pengosongan.

"Kita masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan kerana sebelum ini hanya unit rumah bernilai RM500,000 ke atas tidak terjual yang diambil sebagai kajian.

"Kita akan tengok kaedah lain untuk kawal pemaju agar sebelum pembinaan, kementerian akan meneliti sama ada projek yang dicadangkan adalah berdaya maju dan tepat dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat," katanya.

Beliau menjawab soalan Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) yang mempersoal rasional cadangan kementerian melaksanakan cukai pengosongan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Zuraidah berkata, menerusi sistem data berkenaan, ia membolehkan perancangan dibuat melalui maklumat statistik.

"Ekoran penularan COVID-19, pemaju juga sedar hala tuju sebelum ini adalah tidak tepat dan mereka sekarang digalakkan membina rumah bernilai RM500,000 ke bawah," katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Berita Harian X