Khamis, 27 Ogos 2020 | 12:51pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Jawatan PM tidak perlu dihadkan dua penggal

KUALA LUMPUR: Kerajaan setakat ini tidak berhasrat meneruskan langkah reformasi mengehadkan tempoh pelantikan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Langkah pembaharuan itu dirintis Pakatan Harapan (PH) menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada 3 Disember tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Peraturan Mesyuarat 62 yang digunakan bagi menarik balik RUU itu tidak menetapkan kerajaan perlu memberi penjelasan atas keputusan sedemikian.

"Peraturan ini jelas menggariskan ahli yang menjaga sesuatu RUU boleh berdiri di tempatnya dan meminta menarik balik RUU itu atau menangguhkan ke peringkat satu lagi.

"RUU itu sama ada sebelum dimulakan urusan mesyuarat atau apabila sampai pada perkara RUU itu dalam aturan urusan mesyuarat.

"Tidak dinyatakan bahawa apabila kerajaan ingin menarik balik sesuatu RUU perlu diberikan sebab kenapa ia perlu ditarik, namun keputusan untuk memasukkan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan diputuskan dan dibawa oleh kerajaan PH sehingga bacaan kali pertama.

"Sebagaimana kita tahu, (pembentangan RUU ini dibuat) oleh yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun 22 bulan," katanya merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaik selesai sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

RUU bagi meminda Fasal 2 itu antara lain bertujuan menggantikan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan peruntukan kriteria tambahan membabitkan kelayakan ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.

Melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen.

Isu penarikan balik RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 dibangkitkan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) dengan mendesak supaya kerajaan mengemukakan penjelasan di sebalik keputusan itu yang didakwa bertujuan menjaga kepentingan rakyat.

Seakan tidak berpuas hati dengan pencerahan diberikan, Tze Tzin yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengemukakan soalan susulan sama ada kerajaan ketika ini mempunyai minat untuk membuat sebarang reformasi berhubung perkara terbabit.

Takiyuddin kemudian bingkas bangun dan secara ringkas berkata: "Dalam perkara itu, setakat ini, tidak."

Berita Harian X