Rabu, 26 Ogos 2020 | 11:54am

RUU had jawatan PM, IPCMC ditarik balik

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini menarik balik dua rang undang-undang (RUU) iaitu RUU Perlembagaan (Pindaan) membabitkan perjawatan Perdana Menteri dan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), daripada pembentangan bacaan kali kedua.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan, menyatakan penarikan balik itu menerusi Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, sebaik selesai sesi soal jawab lisan, hari ini.

"Saya memohon mencadangkan menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik DR 42/2019 Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dan DR 25/2019 Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 seperti yang tertera di nombor enam dan tujuh aturan urusan mesyuarat hari ini," katanya.

Pindaan Perlembagaan Fasal 2 itu antara lain bertujuan menggantikan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mewujudkan peruntukan kriteria tambahan membabitkan kelayakan ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.

Melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.

RUU untuk meminda Perlembagaan Persekutuan itu dibentang untuk bacaan kali pertama pada 3 Disember tahun lalu.

RUU IPCMC 2019 dibentang bagi bacaan kali pertama pada 18 Julai tahun lalu, bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke arah meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia juga bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, hari ini mengemukakan peruntukan baharu menggantikan IPCMC iaitu RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 untuk bacaan kali pertama, di Dewan Rakyat.

RUU itu bakal menyaksikan badan pemantau bebas ditubuhkan, selain mewujudkan peruntukan, fungsi dan kuasa, termasuk berkaitan aduan salah laku serta penyiasatan terhadap anggota polis.

Ismail berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu akan dibuat pada sidang mesyuarat Dewan Rakyat yang sama.

Asalnya, RUU IPCMC 2019 dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu, namun ditangguh untuk penambahbaikan.

Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk menarik balik RUU IPCMC 2019 susulan bantahan pelbagai pihak dan akan digantikan dengan peruntukan baharu.

Berita Harian X