Selasa, 25 Ogos 2020 | 8:17am

Pengundian awal PRK Slim hari ini

TANJUNG MALIM: Pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dekat Slim River, dibuka jam 8 pagi tadi.

Ia bagi membolehkan 267 pengundi awal membabitkan anggota polis dan pasangan menunaikan hak pada pilihan raya kali ini.

Pusat pengundian awal itu dibuka sehingga 5.30 petang.

Sepanjang proses itu, pematuhan garis panduan pencegahan COVID-19 seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan sanitasi tangan dan saringan suhu badan dilaksanakan.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan proses pengundian berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi pengundian awal akan disimpan di IPD Muallim, dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos ini, di pusat pengiraan undi di Majlis Daerah Tanjung Malim.

Turut meninjau pusat pengundian berkenaan ialah Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Slim ialah pilihan raya kedua berlangsung dalam kebiasaan baharu, susulan wabak COVID-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu.

Berita Harian X