Isnin, 24 Ogos 2020 | 2:44pm
Tiada keperluan menggubal undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Ti Lian Ker. - Foto hiasan NSTP/Nadim Bokhari
Tiada keperluan menggubal undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Ti Lian Ker. - Foto hiasan NSTP/Nadim Bokhari

Perpaduan kaum, undang-undang sedia ada memadai - Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Ti Lian Ker, berkata undang-undang sedia ada pada ketika ini mencukupi.

"Yang perlu ketika ini bukanlah undang-undang tambahan, sebaliknya penguatkuasaan, pelaksanaan dan pendidikan kesedaran," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaludin Alias (BN-Jelebu) yang mahu kementerian memaklumkan adakah undang-undang sedia ada pada ketika ini mencukupi untuk memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Lian Ker berkata, mana-mana individu yang sengaja mencetus atau mengeluarkan kenyataan yang mengganggu-gugat perpaduan dan mengancam keharmonian rakyat boleh didakwa di bawah akta sedia ada termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan subseksyen 41 Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Beliau juga menyeru Ahli-Ahli Parlimen supaya memainkan peranan mereka untuk kembali kepada semangat Rukun Negara dan mengamalkan prinsip semangat perlembagaan bagi mengukuhkan perpaduan dalam negara ini.

Menjawab soalan tambahan Jalaluddin, Lian Ker berkata, antara langkah mendidik rakyat menghormati undang-undang sedia ialah memperketat penguatkuasaan dan mengenakan hukuman setimpal terhadap individu yang mengeksploitasi emosi perkauman dan keagamaan bagi membuka mata rakyat supaya menghormati undang-undang berkaitan.

Selain itu kempen kesedaran dan semangat perpaduan wajar disebarkan kepada kumpulan sasar iaitu pelajar sekolah, mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil bagi membantu kempen ini.

– BERNAMA

TAG: dewan rakyat, perpaduan kaum, undang-undang baharu, ti lian ker.

Berita Harian X