Isnin, 24 Ogos 2020 | 9:53am
Suasana meriah di sekitar kawasan Felda Trolak Utara yang dihiasi bendera dan poster Barisan Nasional (BN) ketika tinjauan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim. - Foto BERNAMA.
Suasana meriah di sekitar kawasan Felda Trolak Utara yang dihiasi bendera dan poster Barisan Nasional (BN) ketika tinjauan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim. - Foto BERNAMA.

PRK Slim: 267 anggota polis mengundi awal esok

KUALA LUMPUR: Seramai 267 anggota polis akan mengundi awal esok bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang akan berlangsung di ibu pejabat polis daerah (IPD) Muallim, Perak.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, berkata pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Sepanjang proses undi awal ini, katanya, pematuhan kepada garis panduan pencegahan COVID-19 yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan sanitasi tangan dan saringan suhu badan akan dilaksanakan.

"Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR.

"Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara 'live streaming' menerusi Facebook SPR," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian Sabtu ini di pusat pengiraan undi di bilik menunggu, Aras 3, Majlis Daerah Tanjong Malim.

"SPR berharap pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka," katanya.

Berita Harian X