Ahad, 23 Ogos 2020 | 3:26pm
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA
Gambar hiasan. - Foto BERNAMA

Ops Benteng: 28,272 kenderaan diperiksa, 5 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam Sekatan Jalan Raya Ops Benteng yang dilakukan secara bersepadu, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob, berkata operasi berkenaan diadakan bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), terutama di lorong-lorong tikus.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan sesekali membenarkan sempadan negara dibolosi secara haram dan tindakan tegas bakal dikenakan bagi mereka yang ingkar.

"Semalam, PDRM telah mengadakan 62 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 28,272 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI, terutama di lorong-lorong tikus. PDRM telah berjaya menahan lima warga asing atas kesalahan imigresen.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ops Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Ia dilancarkan bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Berita Harian X