Khamis, 20 Ogos 2020 | 11:03pm
Ka Siong (dua kanan) melawat kawasan parit yang sering dinaiki air apabila hujan lebat ketika lawatan di Kampung Baru Slim River. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Ka Siong (dua kanan) melawat kawasan parit yang sering dinaiki air apabila hujan lebat ketika lawatan di Kampung Baru Slim River. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

PRK Slim: MCA akan bantu atasi masalah kaum Cina

SLIM RIVER: MCA menggerakkan jentera pilihan parti itu untuk 'turun padang' mendekati pengundi Cina di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, khususnya di Kampung Baru, dekat sini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata setakat ini jentera parti itu sudah mendekati 85 peratus pengundi Cina di kawasan berkenaan bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Mohd Zaidi Aziz .

Walaupun kerusi itu sebelum ini milik BN, Ka Siong berkata, pihaknya tidak bersikap sambil lewa atau berada dalam zon selesa, sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan milik BN.

"Seperti lazimnya, MCA akan membantu memastikan (kemenangan itu) memang (milik) BN dan untuk PRK kali ini, kita menumpukan Kampung Baru yang meliputi hampir 85 peratus pengundi Cina di DUN Slim.

"Saya yakin menerusi usaha semua pihak daripada BN, rakan parti ataupun Perikatan Nasional yang membantu, ia adalah petanda yang baik," katanya selepas meninjau tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhubung masalah laluan dan banjir di Kampung Baru, hari ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, apa yang penting adalah komunikasi dengan penduduk tempatan, termasuk kempen dari rumah ke rumah, selain tidak boleh melakukan gerak kerja pada saat akhir.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) untuk membuka jalan di tanah rizab KTMB bagi memudahkan perjalanan penduduk Kampung Baru.

Katanya, penduduk ada memohon menjadikan laluan itu sebagai penghubung daripada sekolah ke kampung berkenaan untuk memudahkan perjalanan mereka.

PRK Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu S Santhasekaran, 44, serta Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38.

Berita Harian X