Khamis, 20 Ogos 2020 | 1:15pm
Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2020/1442 Hijrah yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Aizuddin Saad
Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2020/1442 Hijrah yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Aizuddin Saad

'Kita boleh selamatkan satu negara'

KUALA LUMPUR: Adaptasi normal baharu dalam kalangan rakyat adalah satu penghijrahan terbaik dalam usaha negara memerangi penularan wabak COVID-19.

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2020/1442 Hijrah yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menyifatkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan, adalah kaedah terbaik dalam mengubah kehidupan rakyat kepada yang lebih baik.

"Kalau kita lihat cara kita menyambut Maal Hijrah 1442 adalah sangat berbeza dengan menggunakan normal baharu, dan kaedah baharu inilah adalah satu hijrah iaitu cara kita mengubah kehidupan kita, daripada yang kurang bagus kepada yang lebih bagus.

"Jadi dengan SOP yang telah kita jalankan dan kita maklumkan kepada rakyat untuk patuh, bukan hanya COVID-19, kita lihat penyakit berjangkit iaitu penyakit campak serta tangan, kaki dan mulut (HFMD), berkurangan sehingga 60 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara di sini, malam tadi.

Dr Noor Hisham berkata, SOP yang diguna pakai kini sebenarnya diamalkan pada zaman tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina, seperti mengetatkan kawalan sempadan dan elakkan mengadakan perhimpunan besar dan tidak bersalaman ketika dilanda wabak.

Beliau percaya sekiranya rakyat patuh dengan SOP itu, negara mampu memutuskan penularan COVID-19 walaupun masih tiada vaksin ditemui pada masa ini, sama seperti yang mampu dilakukan negara ketika berdepan penularan SARS dan Mers-CoV.

"Sebagai pakar bedah, saya mungkin boleh menyelamatkan satu nyawa pada satu masa, tetapi dalam pentadbiran iaitu kesihatan awam, kalau perancangan kita betul kita boleh menyelamatkan satu negara.

"Inilah tanggungjawab yang kita galas bersama di Kementerian Kesihatan (KKM), bekerja sebagai satu pasukan dan juga bekerjasama dengan kementerian lain.

"Kita menggunakan 'whole goverment and whole society approach' dan saya minta semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu negara kita daripada COVID-19," katanya.

Pada sambutan tahun ini yang bertemakan 'Ummah Rabbani Negara Harmoni' itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Syeikh Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib.

Beliau yang tidak dapat menghadiri majlis itu diwakili oleh Duta Besar Mesir ke Malaysia Gamal Abdel Rahim Mohamed Metwally.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengumumkan tokoh berkenaan, turut membacakan ucapan terima kasih Syeikh Ahmad Tayyib kepada kerajaan Malaysia atas penghormatan yang diberikan. – BERNAMA

Berita Harian X