Rabu, 19 Ogos 2020 | 5:11pm
BAKAL Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
BAKAL Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Parti PEJUANG mohon pendaftaran hari ini

PUTRAJAYA: Tujuh pengasas Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) hadir ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) petang ini, untuk mengemukakan permohonan rasmi mendaftarkan parti itu.

Bakal Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berharap ROS dapat meluluskan pendaftaran parti berkenaan secepat mungkin supaya pihaknya boleh terbabit secara langsung dalam proses demokrasi negara ini sebagai sebuah parti politik yang sudah mendaftar.

"Kami sudah menghantar permohonan secara dalam talian dan pada petang ini kami kemukakan salinan borang untuk diterima oleh pihak ROS untuk pertimbangan.

"Seperti mana biasa, ROS akan meneliti setiap butiran dalam permohonan ini terlebih dahulu bagi memastikan kita mematuhi segala syarat yang ditetapkan seperti bawah Akta Pertubuhan 1996 khususnya Seksyen 6 akta berkenaan.

"Buat masa ini tiada lagi jawatan kuasa yang dibentuk, dan kita hanya serahkan nama tujuh pengasas Pejuang sahaja. Selepas ini sekiranya (parti ini) diluluskan, maka kita perlu mengadakan mesyuarat penubuhan serta melantik 21 orang bagi mengisi jawatankuasa terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan borang permohonan berkenaan kepada Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; bekas Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Ketua Bahagian BERSATU Alor Setar, Datuk Mohamad Nuhairi Ahmad.

Kesemua mereka hadir secara berasingan di Kementerian Dalam Negeri mulai jam 2.30 petang tadi.

Pada 7 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang akan berasaskan kepada perjuangan Melayu.

Menurut laporan berkenaan, penubuhan Pejuang berbeza dengan parti Melayu lain yang dikatakan menggadai maruah bangsa, agama dan hala tuju perjuangan kepada golongan yang gilakan kuasa.

Mei lalu, Dr Mahathir dan empat lagi individu digugurkan keahlian mereka daripada BERSATU.

Mereka yang lain ialah Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Keahlian kelima-lima mereka digugurkan dengan alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Berita Harian X