Selasa, 18 Ogos 2020 | 12:30pm

RUU Majlis Keselamatan Negara dibentang had kuasa PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 bagi menyekat Perdana Menteri dari menggunakan kuasanya mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai 'kawasan keselamatan'.

RUU dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan, untuk bacaan kali pertama dan dijadual bacaan kali kedua dan ketiga pada persidangan Dewan Rakyat kali ini juga.

Pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 pernah dibentang di Dewan Rakyat pada April tahun lalu, namun pada Julai, ia ditarik balik kerajaan terdahulu mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Akta MKN diluluskan Dewan Rakyat pada Disember 2015 ​​​​​​​dan berkuat kuasa 1 Ogos 2016, antara lain membolehkan Perdana Menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai 'keselamatan' dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa waran.

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di sesuatu 'kawasan keselamatan'.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini menyifatkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 perlu dipinda kerana ia mengambil hak keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dalam pengisytiharan darurat.

Menurut rang undang-undang yang dibentangkan itu, pindaan Seksyen 18 akta berkenaan turut meliputi subseksyen (4) iaitu menggantikan perkataan "Perdana Menteri" kepada "Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis"; dan subseksyen (6) menggantikan perkataan "di Parlimen" dengan perkataan "di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen".

Selain itu, pindaan turut membabitkan subseksyen (7), yang sebelum ini menyebut Perdana Menteri boleh, pada bila-bila masa, membatalkan perisytiharan itu (kawasan keselamatan), dan diganti dengan perkataan "Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis".

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 turut menyaksikan pindaan Seksyen 37 berkaitan hukuman penjara berhubung obligasi kerahsiaan dinaikkan daripada dua tahun kepada lima tahun

Rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Seksyen 6 Akta Majlis Keselamatan Negara berhubung keanggotaan Majlis iaitu mengeluarkan Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi Majlis dan memberi kuasa kepada pengerusi majlis untuk melantik seorang timbalan pengerusi dalam kalangan anggota Majlis yang lain.

Mengikut akta asal, keanggotaan Majlis terdiri daripada lapan orang iaitu Perdana Menteri sebagai Pengerusi; Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi; Menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab bagi pertahanan; Menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab bagi hal ehwal dalam negeri; Menteri yang dipertanggungjawab dengan tanggungjawab bagi komunikasi dan multimedia; Ketua Setiausaha Negara; Panglima Angkatan Tentera; dan Ketua Polis Negara.

Rang undang-undang itu tidak akan membabitkan apa-apa perbelanjaan tambahan kerajaan.

Berita Harian X