Isnin, 17 Ogos 2020 | 4:37pm
Gambar fail. Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad (kanan) bersama pegawainya ketika meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kampung Kuala Sanglang berikutan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran. - Foto Amrah Hamid.
Gambar fail. Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad (kanan) bersama pegawainya ketika meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kampung Kuala Sanglang berikutan pelaksanaan PKPD secara pentadbiran. - Foto Amrah Hamid.

SJR Ops Benteng: 19,355 kenderaan diperiksa

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19,355 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) sempena Operasi Benteng, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, berkata operasi itu bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 53 SJR di seluruh negara dan memeriksa 19,355 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Selain PDRM, beliau berkata, operasi itu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, daripada pemeriksaan di 10 tapak binaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mendapati semua tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagi pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam, sebanyak 12 jenis bekalan barangan di 706 premis perniagaan diperiksa termasuk peruncit (526), pemborong (150) dan pengilang (30).

Sebanyak 1,160 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dilakukan penguatkuasa dan mendapati 1,157 premis mematuhi SOP yang ditetapkan, manakala 3 premis diberi nasihat kerana tidak memenuhi syarat kepatuhan SOP PKPP.

Berita Harian X