Isnin, 17 Ogos 2020 | 8:45am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

PRK Slim: Jangan rakam, tular kertas undi pos

SLIM RIVER: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran supaya pengundi tidak merakam gambar kertas undi pos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dan menularkannya di laman media sosial.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, berkata tindakan undang-undang akan diambil dan boleh dikenakan hukuman sewajarnya jika didapati bersalah berbuat demikian.

"Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

"Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, SPR mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi PRK DUN Slim pada jam 2.30 petang oleh petugas pilihan raya di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim di sini.

Semua permohonan undi pos terbabit terdiri daripada 75 kategori Borang 1A iaitu 65 petugas ppilihan raya dan 10 anggota polis, dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara dan satu permohonan kategori Borang 1B iaitu warganegara yang berada di luar negara.

Sebanyak 68 sampul keutamaan sudah diserahkan kepada Pos Malaysia untuk dihantar kepada pengundi terbabit manakala 10 lagi sampul keutamaan diambil oleh pegawai yang bertanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diserahkan kepada anggota polis yang memohon undi pos.

Proses pengeluaran kertas undi pos ini turut dijalankan dengan kehadiran wakil kepada calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi SPR.

Dalam pada itu, Ikmalrudin mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap borang pengisytiharan identiti yang disertakan dan mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus PRK DUN Slim sebelum jam 5 petang, 29 Ogos ini.

Berita Harian X