Jumaat, 14 Ogos 2020 | 9:49pm

Pengarah jabatan MBSA direman 6 hari

PUTRAJAYA: Seorang pengarah jabatan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah kerana disyaki melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian di sekitar Sungai Buloh.

Perintah reman bermula hari ini hingga Rabu depan dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini, petang tadi.

Pengarah berusia 59 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM, di sini, selepas diambil keterangan pada jam 10.15 pagi tadi.

Suspek kemudian dibawa ke mahkamah pada jam 3.07 petang dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Pagi tadi, tiga penguat kuasa MBSA turut direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima dan mengutip rasuah yang disyaki untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh. – BERNAMA

Berita Harian X