Jumaat, 14 Ogos 2020 | 5:05pm
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom (kiri) melawat persiapan akhir menjelang penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Slim di Dewan Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom (kiri) melawat persiapan akhir menjelang penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Slim di Dewan Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

PRK Slim: Tak guna sarung tangan, berus calitan

TANJUNG MALIM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berjalan lancar dan cepat berbanding PRK DUN Chini sebelum ini.

Jaminan itu diberikan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom yang menjelaskan pihaknya melaksanakan beberapa penambahbaikan ketika proses pengundian berjalan.

Katanya, penambahbaikan itu adalah pengundi tidak lagi perlu memakai sarung tangan, manakala proses calitan tidak lagi menggunakan berus.

"Ketika PRK DUN Chini, kita mendapati proses pengundian begitu perlahan kerana (pengundi) perlu sanitasi tangan, selepas itu jari mereka dicalit, kemudian pakai sarung tangan dan barulah mengundi.

"Hasil daripada itu, kita menambah baik proses dengan tidak lagi menggunakan sarung tangan, manakala pengundi hanya perlu mencelup jari mereka di dalam dakwat berbanding dicalit sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan menjelang penamaan calon PRK DUN Slim di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya turut menambah lebih ramai petugas SPR di lapangan bagi memastikan proses pengundian PRK DUN Slim berjalan lebih lancar.

Jelasnya, seramai 689 petugas SPR akan bertugas pada hari berkenaan, lebih ramai berbanding hanya 400 ketika PRK DUN Chini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, sebanyak 12 borang pencalonan terjual setakat ini.

"Sebanyak 12 borang sudah dijual tetapi ini bukan bermakna ada 12 parti yang membelinya. Ada parti yang membeli borang lebih dari satu borang," katanya.

Berita Harian X