Khamis, 13 Ogos 2020 | 7:31pm
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan), berkata walaupun dakwaan yang dibuat oleh Mohd Asri itu disifatkan keterlaluan, namun ATM mengambil pendekatan untuk memaafkan.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan), berkata walaupun dakwaan yang dibuat oleh Mohd Asri itu disifatkan keterlaluan, namun ATM mengambil pendekatan untuk memaafkan.

Kami maafkan Mohd Asri - Panglima ATM

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima permohonan maaf yang dibuat secara terbuka oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid berhubung dakwaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tentera tidak menjaga solat.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata walaupun dakwaan yang dibuat oleh Mohd Asri itu disifatkan keterlaluan, namun ATM mengambil pendekatan untuk memaafkan.

"Kenyataan beliau disifatkan sebagai keterlaluan dan mengguris hati warga ATM terutama dalam kalangan mereka yang beragama Islam.

"Namun sebagai manusia biasa, kita tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.

"Oleh yang demikian, ATM mengambil pendekatan menerima permohonan maaf individu berkenaan (Mohd Asri) yang dibuat secara terbuka dan disiarkan menerusi laman media sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan warga ATM memaafkan perbuatan Mohd Asri selaras dengan tuntutan Islam iaitu kewajipan seorang Muslim untuk sentiasa menjaga lidah dan tutur kata selaras dengan hadis.

"Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menjamin bagiku apa yang ada di antara tulang dagunya (mulut dan lidah) dan apa yang ada di antara dua kakinya (kemaluan), maka aku menjamin baginya syurga."

"Semoga apa yang berlaku dapat dijadikan sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kita perlu sentiasa peka dan berhati-hati di dalam mengeluarkan kenyataan atau pendapat atau pandangan mahupun apa jua ulasan tanpa sebarang rujukan atau fakta yang boleh mencetuskan sebarang polemik," katanya.

Beliau berkata, ATM berharap perkara seumpama itu tidak akan berulang dan masyarakat diseru untuk tidak membangkitkan lagi perkara itu di khalayak umum bagi menjaga keharmonian semua pihak.

"Sesungguhnya, memaafkan kesalahan orang lain itu adalah dituntut dalam Islam kerana Islam adalah agama perdamaian dan kemaafan.

"Ketahuilah bahawa apabila memaafkan orang lain bukan sahaja membuatkan hati si pesalah tadi berasa tenang, tetapi Allah SWT turut akan menurunkan ketenangan itu kepada orang yang memaafkan," katanya.

Berita Harian X