Khamis, 13 Ogos 2020 | 4:18pm
Sekatan jalan raya dijalankan dalam kawasan TEMCO di Padang Sanai, Padang Terap. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Sekatan jalan raya dijalankan dalam kawasan TEMCO di Padang Sanai, Padang Terap. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

TEMCO: Kertas siasatan pasangan warga emas keluar guna laluan tikus sudah siap - Polis

PADANG TERAP: Kertas siasatan kes pasangan suami isteri warga emas dari Kampung Ulu, Padang Sanai, yang dikesan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) pada minggu lalu, sudah siap dan diserah kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya negeri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata pasangan itu disyaki menanggalkan gelang merah jambu dan putih sebelum keluar melalui laluan tikus untuk ke pekan Kuala Nerang dengan menunggang motosikal tetapi berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar. - NSTP/NOORAZURA ABDUL RAHMAN

"Pasangan itu boleh dituduh mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, di sini, hari ini.

Mulkiaman sekali gus mengingatkan penduduk di kawasan TEMCO supaya tidak keluar dengan menggunakan laluan tikus, bagi mengelakkan risiko penyebaran COVID-19.

Beliau menegaskan, pihaknya sudah melakukan sekatan jalan raya (SJR) di empat kampung, iaitu Kampung Ulu, Kampung Kubang Palas, Kampung Seberang dan Kampung Chenderai yang dikesan mempunyai banyak laluan tikus.

"SJR berkenaan dijalankan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selama 24 jam, termasuk rondaan berkala di laluan tikus.

"Orang ramai diminta tidak mengingkari TEMCO dan mematuhi arahan kuarantin hingga 30 Ogos ini," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X