Rabu, 12 Ogos 2020 | 9:12pm

Jenazah tujuh sekeluarga selamat dikebumikan

KULIM: Jenazah tujuh sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Keramat Pulai dekat Ipoh, petang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah di dalam satu liang lahad pada jam 8.30 malam ini.

Kesemua jenazah yang dibawa dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh itu tiba di pekarangan tanah perkuburan pada jam 6.15 petang.

Jenazah Fatimah Mat Isa, 68, bersama anak lelakinya, Mohd Zairul Mat Isa, 34; Nuratiqah Abd Hamid, 30, (isteri Mohd Zairul), Nur Qaseh Damia, 4 (anak Mohd Zairul); Hasliza Mahmud, 40, (anak saudara Fatimah), Zulkifli Shuib, 49, (suami Hasliza) dan Mohd Alif Firdaus, 3, (anak Hasliza) kemudiannya disolatkan di pekarangan tanah perkuburan berkenaan.

Lebih 300 ahli keluarga dan kenalan dibenarkan hadir menziarahi jenazah.

Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan setiap kali jenazah diturunkan ke liang lahad satu persatu.

Selain tujuh maut, kemalangan pada jam 5.30 petang itu turut menyebabkan dua lagi parah, manakala seorang dirawat di zon kuning selepas Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler.

Mangsa yang cedera dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dikenal pasti sebagai anak Hasliza, Firash Mikhael Azrie Shah, 11 dan seorang remaja lelaki yang setakat ini hanya dikenali sebagai 'Apit', 16.

Hampir seribu orang penduduk kampung dan ahli keluarga menunaikan solat jenazah tujuh sekeluarga di tanah perkuburan, hari ini. - Foto BERNAMA
Hampir seribu orang penduduk kampung dan ahli keluarga menunaikan solat jenazah tujuh sekeluarga di tanah perkuburan, hari ini. - Foto BERNAMA

Kesemua jenazah yang dibawa dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh tiba di pekarangan tanah perkuburan pada jam 6.15 petang. - NSTP/Nor Farhani Che Ad
Kesemua jenazah yang dibawa dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh tiba di pekarangan tanah perkuburan pada jam 6.15 petang. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah di dalam satu liang lahad. - NSTP/Nor Farhani Che Ad
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah di dalam satu liang lahad. - NSTP/Nor Farhani Che Ad

Seorang lagi mangsa iaitu anak kepada pasangan Mohd Zairul dan Nuratiqah iaitu Muhammad Haziq Zikri Mohd Zairul, 9, dirawat di Zon Kuning sementara pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Mohd Zairul yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala Simpang Pulai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan treler yang datang dari arah bertentangan.

"Kenderaan itu kemudiannya merempuh bahagian hadapan treler berkenaan yang dipandu lelaki berusia 32 tahun sebelum terbalik menyebabkan tujuh maut sementara tiga lagi penumpang terperangkap dalam kenderaan," kata A Asmadi.

Penduduk kampung dan ahli keluarga membantu menurunkan jenazah tujuh sekeluarga di tanah perkuburan. - Foto BERNAMA
Penduduk kampung dan ahli keluarga membantu menurunkan jenazah tujuh sekeluarga di tanah perkuburan. - Foto BERNAMA
Berita Harian X