Rabu, 12 Ogos 2020 | 1:07pm

8 negeri terima manfaat pelan gentian optik

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menganggarkan sebanyak 40,000 penduduk di 93 mukim merangkumi lapan negeri akan menerima manfaat daripada pelaksanaan projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara 1 (NFCP 1).

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata projek yang bermula pada 15 Februari lalu ini bertujuan menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di 152 tapak.

Beliau berkata, lapan negeri terbabit merangkumi Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Terengganu dan Sabah.

"Inisiatif ini dijangka siap dalam tempoh 12 bulan bagi 147 tapak, manakala 24 bulan untuk baki lima tapak memandangkan lokasinya yang agak jauh di pedalaman.

"Sabah akan mendapat manfaat terbesar iaitu sebanyak 50 tapak (32.9 peratus) daripada keseluruhan 152 tapak.

"Edotco Malaysia Sdn Bhd telah dianugerahkan untuk membina sebanyak 24 tapak struktur menara komunikasi manakala FGV Prodata Systems Sdn Bhd sebanyak 26 tapak.

"Setelah menara berkenaan siap dibina, U Mobile Sdn Bhd pula akan bertanggungjawab untuk pemasangan alat pemancar komunikasi dan pemberian perkhidmatan mudah alih di semua 50 tapak. Di bawah inisiatif ini, pengguna akan menikmati perkhidmatan 3G dan 4G," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang mahu kementerian menyatakan secara terperinci butir-butir tender Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membina 50 menara telekomunikasi di bawah fasa pertama NFCP 1.

Di bawah inisiatif ini, Zahidi berkata U Mobile Sdn Bhd selaku pemberi perkhidmatan sejagat yang akan menjadi pemilik kepada semua 50 menara bagi memastikan kesinambungan pengoperasian dan penyelenggaraan menara telekomunikasi terbabit.

Jelasnya, pembinaan menara telekomunikasi di bawah fasa pertama NFCP1 dilaksanakan menurut rangka kerja pemberian perkhidmatan sejagat.

"Dari sudut perundangan, berdasarkan Commission Determination on Universal Service Provision, Determination No. 6 of 2002 yang dikeluarkan pihak suruhanjaya, apa-apa kemudahan berdasarkan rancangan perkhidmatan sejagat yang diluluskan akan dimiliki oleh pemberi kemudahan rangkaian atau pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilantik untuk menyediakannya.

"Ia selagi pelantikan mereka sebagai pemberian perkhidmatan sejagat itu tidak dibatalkan," katanya.

Berita Harian X