Rabu, 12 Ogos 2020 | 12:41pm
Kerajaan menangguhkan tindakan saman terhadap ibu bapa yang gagal menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sehingga akhir tahun ini. - Foto fail NSTP
Kerajaan menangguhkan tindakan saman terhadap ibu bapa yang gagal menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sehingga akhir tahun ini. - Foto fail NSTP

Tangguh penguatkuasaan kerusi keselamatan bayi

KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan penguatkuasaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) sehingga akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata bagaimanapun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneruskan pendidikan, advokasi dan juga memberi nasihat berhubung penggunaan CRS.

Katanya, kementerian juga sedang merangka cara penyelesaian jangka panjang yang dapat melindungi tahap keselamatan kanak-kanak tanpa membebankan rakyat, khususnya ibu bapa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto BERNAMA
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. - Foto BERNAMA

"Kita akan teruskan penggunaan CRS (tetapi) kita tidak akan kenakan saman dan kita lanjut (tangguh saman) sampai hujung tahun.

"Kita sedang mengkaji dari segi ketinggian dan umur. Kita melihat praktikal kalau di Jepun, kanak-kanak dibawa umur enam tahun, di Eropah dia sampai 15 tahun, ada yang sampai (tinggi) 150 sentimeter (cm).

"Adakah nilai ambang (tinggi) 135 cm dan (berat) 36 kilogram ini adalah nilai ambang yang patut kita terima pakai. Kesemua ini kita dalam peringkat kajian dan MIROS sedang buat kajian secara khusus," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (BERSATU-Libaran) pada sesi soal jawab lisan.

Menjawab soalan asal, beliau berkata, kerajaan sedar wujudnya kekangan memperluas pelaksanaan peraturan CRS kepada kenderaan perkhidmatan awam seperti bas henti-henti, bas ekpress, teksi dan kenderaan e-hailing di atas faktor praktikaliti.

Sebagai contoh, katanya, peralatan CRS mungkin tidak sesuai dipasang di atas tempat duduk dalam bas selain kekangan menyediakan peralatan CRS bersesuaian untuk satu kanak-kanak oleh perkhidmatan teksi dan e-hailing, mengambil kira saiz kanak-kanak yang berbeza-beza.

"Saya sudah mengarahkan MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) untuk mengadakan perbincangan terperinci dengan pihak persatuan pengeluar dan penjual kenderaan serta pihak pembuat dan pengimport CRS ke arah mengurangkan kos jualan CRS.

"Bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing, penggunaan CRS adalah digalakkan. Penyedia perkhidmatan adalah digalakkan untuk menyediakan CRS universal bagi kegunaan pelanggan.

Katanya, bagi meningkatkan tahap keselamatan penumpang di dalam bas ekspres, kerajaan sudah mewajibkan peraturan pemasangan tali pinggang keledar di dalam semua bas ekpress bagi bas binaan baharu bermula tahun ini.

"Saya juga sudah berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai pendekatan terbaik mengenai pelaksanaan dasar CRS," katanya.

Berita Harian X