Selasa, 11 Ogos 2020 | 8:22pm
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap kepada media selepas
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap kepada media selepas

Kerajaan Terengganu akui lantik individu luar teraju GLC

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui melantik individu tertentu memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat secara kontrak berdasarkan pengalaman dan kelayakan individu berkenaan.

"Individu berkenaan dilantik secara kontrak antara dua dan tiga tahun untuk membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi GLC.

"Individu yang dilantik mempunyai keluarga dan menetap di negeri ini dan pernah memegang jawatan beberapa GLC," katanya pada sidang media selepas penangguhan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mempersoalkan tindakan kerajaan Terengganu melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Samsuri menjelaskan, individu berkenaan ditawarkan kontrak untuk menerajui GLC selepas kerajaan negeri mendapati banyak kepincangan, termasuk pengurusan dan tatacara kewangan syarikat milik kerajaan negeri selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018.

Tegasnya, individu berkenaan mampu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi GLC dalam tempoh yang singkat.

"Apabila syarikat milik kerajaan itu kembali pulih, kerajaan negeri akan memberi peluang kepada anak tempatan untuk menerajuinya," katanya.

Sementara itu diminta mengulas dakwaan Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal mengenai tidak wujud kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri menjelaskan, kerjasama antara parti dalam PN akan dilakukan secara berperingkat.

Katanya, kerjasama antara pemimpin parti di peringkat akar umbi akan dilakukan dengan pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Januari depan.

"Proses pelantikan perlu dilakukan secara teliti dan cermat berikutan suasana dan masalah dalam kalangan masyarakat yang wujud di peringkat akar umbi.

"JPKK nanti akan menggabungkan pemimpin PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)," katanya.

Berita Harian X