Selasa, 11 Ogos 2020 | 7:28pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Nilai moratorium dianggar cecah RM66.6 bilion

PUTRAJAYA: Nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuatkuasa sejak 1 April, 2020 lalu dianggarkan berjumlah RM66.6 bilion setakat 31 Julai 2020, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM23.3 bilion telah dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat bernilai RM43.3 bilion.

"Menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September ini, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang terjejas akibat COVID-19 melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar," katanya dalam kenyataan laporan LAKSANA Ke-16, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, individu yang kehilangan pekerjaan pada 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan.

"Selepas tiga bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing," katanya.

Beliau menambah, individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

Katanya, pihak terkesan boleh menghubungi institusi perbankan mulai 7 Ogos, 2020 untuk berbincang dan memohon fleksibiliti pembayaran balik.

Maklumat lanjut boleh didapati di https://www.facebook.com/bnm.official/posts/10158571163499872.

Berita Harian X