Selasa, 11 Ogos 2020 | 5:17pm
Penurunan kadar tol PLUS turut mempengaruhi Dasar Penswastaan Negara dalam hal berkaitan kadar tol dan lebuh raya. Foto arkib NSTP
Penurunan kadar tol PLUS turut mempengaruhi Dasar Penswastaan Negara dalam hal berkaitan kadar tol dan lebuh raya. Foto arkib NSTP

Kaji semula impak penurunan kadar tol PLUS 18 peratus - Fadillah

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula impak penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus kepada Lebuhraya Plus Malaysia Bhd (PLUS) yang turut dikhuatiri mempengaruhi Dasar Penswastaan Negara dalam hal berkaitan tol dan lebuh raya.

Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kajian itu perlu dibuat untuk melihat arah tuju kesan penurunan kadar tol itu kepada lebuh raya lain termasuk yang sedang dalam pembinaan serta yang akan dibina.

"Salah satu keputusan (kerajaan terdahulu) ialah 18 peratus diskaun untuk tol PLUS tetapi tidak kepada lebuh raya lain. Ini sudah pasti akan menukar keseluruhan Dasar Penswastaan Negara yang diperkenalkan dulu.

"Apabila Pakatan Harapan (PH) memutuskan memberikan 18 peratus (diskaun), kena kaji balik setakat mana impaknya terhadap keseluruhan dasar itu berhubung kait dengan tol dan lebuh raya.

"Ini kerana ia akan memberi kesan kepada lebuh raya lain yang akan terus naik (kadar tol) sedangkan PLUS kekal pada satu harga.

"Selain itu kesannya juga kepada tol lebuh raya baharu yang sedang dalam pembinaan dan cadangan lebuh raya baharu, " katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan PH mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya milik PLUS dilaksanakan 1 Februari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefaham (MoU) antara Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

MoU itu ditandatangani bagi memeterai kerjasama dalam pelaksanaan latihan dan penempatan pekerjaan dalam sektor pembinaan. Hadir sama ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan lagi di peringkat Kabinet berhubung isu pengambilalihan empat lebuh raya utama di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, perkara mengenai pengambilalihan lebuh raya itu bagaimanapun akan dibincangkan kelak sebelum mencapai kata putus.

"Belum ada keputusan di peringkat Kabinet. Kita akan bincang, sudah pasti (dibincang). Tunggulah bila ada keputusan nanti akan dimaklumkan," katanya.

Kerajaan PH) sebelum ini mengumumkan pengambilalihan empat lebuh raya iaitu Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1,377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Berita Harian X