Selasa, 11 Ogos 2020 | 1:36pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Sogokan RM300-RM3,500 sebulan punca peniaga haram di Sungai Buloh

PUTRAJAYA: Sogokan bulanan di antara RM300 hingga RM3,500 bagi setiap premis, dipercayai menjadi punca perniagaan haram dan tanpa lesen berleluasa di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Nilai sogokan terbabit yang dibayar kepada anggota penguat kuasa yang mengawasi kawasan itu, dipercayai bergantung kepada saiz premis dan jenis perniagaan yang dijalankan.

Antara premis yang membayar sogokan itu termasuk kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai yang menjalankan perniagaan di tempat tidak dibenarkan dan premis perjudian.

Sumber berkata, maklumat sogokan itu dikesan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menahan tiga pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berusia 41 hingga 49 tahun, pagi ini.

Dua daripada penguat kuasa yang ditahan bertugas di MBSA Cawangan Sg Buloh, manakala seorang lagi dari MBSA Shah Alam.

Seorang peniaga rokok seludup keturunan Acheh yang tidak mempunyai sebarang dokumen turut ditahan.

Sumber berkata, siasatan mendapati peniaga yang beroperasi sejak tahun lalu itu, membayar RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelak sebarang tindakan.

Siasatan mendapati, susulan sogokan yang diterima secara bulanan itu, anggota penguat kuasa terbabit berperanan pengkhianat dengan membocorkan maklumat berhubung operasi-operasi yang akan dilaksanakan.

Ini menyebabkan setiap operasi yang dijalankan gagal dan telah diketahui awal oleh peniaga-peniaga haram ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak kutipan rasuah secara bersindiket berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa.

Beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung aktiviti rasuah di kalangan penguat kuasa tampil memberikan kerjasama.

Tegasnya, identiti dan maklumat pemberi maklumat akan dilindungi sepenuhnya.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Kesemua yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah bagi permohonan reman dibawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, BH difahamkan warga Acheh yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan dia akan diserahkan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut.

Semalam, Ahmad Khusairi berkata, SPRM akan memberikan tumpuan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa atas kesalahan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh.

Ia susulan pendedahan seorang lelaki yang dikenali sebagai Asri Janggut menjadi tular selepas memuat naik beberapa video mengenai kewujudan pusat judi haram online haram serta kedai runcit menjual rokok seludup.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'atun Abu Bakar dan MBSA namun ia menjadi hangat selepas mendapat perhatian daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turun sendiri ke lokasi kejadian.

Berita Harian X