Isnin, 10 Ogos 2020 | 10:31pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

'Tiada anak Ganu layakkah?'

KUALA TERENGGANU: Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini 'tegang' seketika selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mempersoalkan tindakan kerajaan Terengganu melantik individu tertentu memegang terlalu banyak jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Bekas menteri besar sebelum itu menegur pengurusan tadbir korporat kerajaan negeri kerana hampir kesemua lantikan lembaga pengarah membabitkan orang politik ketika sesi perbahasan.

Ahmad yang ditemui di luar sidang DUN, menzahirkan rasa kurang selesa apabila individu yang mempunyai rekod yang tidak baik dan pernah dipecat, didakwa turut dilantik memegang sehingga 13 jawatan termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah dan penasihat.

"Saya berasa dukacita apabila individu yang tidak mempunyai rekod yang bagus di Kelantan dan pernah dipecat tetapi hari ini mendapat gaji RM800,000 setahun (kira-kira RM67,000 sebulan) dengan dilantik menjadi pengerusi di sebuah syarikat, 11 pengarah, dan turut menjadi penasihat.

"Seorang warga negara England pula dilantik menjadi pengerusi enam buah syarikat dan pengarah enam buah syarikat dengan gaji keseluruhan RM650,000 setahun.

"Saya difahamkan, dia berulang-alik dari London ke Terengganu juga dibiayai syarikat. Itu masalahnya, sampai berbelas-belas bagai (jawatan).

"Tiada orang lain ke? Seorang pegang terlalu banyak syarikat. Hebat sangat ke dia? Mampu ke tumpu kepada syarikat? Takkan tiada anak Terengganu yang berkemampuan," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad berkata, amalan melantik seorang individu memegang terlalu banyak syarikat tidak pernah dibuat ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Katanya, paling banyak seorang individu dilantik memegang tiga jawatan dalam syarikat milik kerajaan negeri dan berharap ia dapat diperbetulkan dari semasa ke semasa.

Berita Harian X