Isnin, 10 Ogos 2020 | 7:35pm
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama pengadu, Asri Janggut, meninjau sendiri lokasi yang didakwa menempatkan premis perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama pengadu, Asri Janggut, meninjau sendiri lokasi yang didakwa menempatkan premis perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh

Asri disiasat bukan untuk dihukum

SUNGAI BULOH: Siasatan ke atas pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, yang mendedahkan kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh, bukan bertujuan menghukum.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata langkah itu adalah tindakan biasa bagi membolehkan polis menyiasat dakwaan yang dibuat Mohd Asri.

Beliau berkata, dalam masa yang sama tindakan dan siasatan juga diambil ke atas polis.

"Kita mengambil tindakan dan menyiasat Mohd Asri bukan untuk menghukum beliau, kita hendak pastikan segala tuduhan itu benar atau sebaliknya, supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau memberitahu media demikian ketika ditemui selepas turun padang melakukan tinjauan sendiri sekitar Bandar Baru Sungai Buloh di sini, petang tadi.

Dalam tinjauan itu, Mohd Asri menunjukkan beberapa lokasi yang didakwa beliau menjadi lokasi perjudian haram dan jualan rokok seludup seperti didedahkan di dalam video yang menjadi viral, baru-baru ini.

Hamzah turut memberi amaran kepada polis mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau juga menggesa orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat mengenai jenayah menggunakan saluran yang betul dan berhati-hati dalam membuat tuduhan.

"Jangan sewenang-wenang membuat viral...yang nanti akan membahayakan keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Berita Harian X