Isnin, 10 Ogos 2020 | 2:48pm
Industri air mobility termasuk pembangunan super dron sudah berkembang di 26 negara. - Foto hiasan NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Industri air mobility termasuk pembangunan super dron sudah berkembang di 26 negara. - Foto hiasan NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Redzuan tak kecewa 'kereta terbang' tak jadi agenda kerajaan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata beliau tidak kecewa apabila inisiatif 'kereta terbang' atau konsep super dron yang dirintisnya, tidak menjadi agenda utama kerajaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tetap memantau perkembangan inisiatif yang dilaksanakan pihak swasta itu secara peribadi.

"(Inisiatif kereta terbang) tidak pernah menjadi keutamaan kerajaan kerana masih banyak lagi agenda yang perlu diutamakan seperti membangunkan usahawan. Apa yang saya perjuangkan adalah perubahan minda orang tempatan mengenai teknologi terkini supaya mereka lebih peka.

"Secara dasarnya kita mahu menjadi negara pengeluar, bukan setakat negara pengguna. Esok (nanti) apabila orang dah (guna kereta) terbang, kita masih nak membeli dari luar? Itulah perubahan minda yang saya katakan.

"Saya tidak pernah kecewa kerana ini adalah inisiatif swasta. Saya bagaimanapun masih memantau secara peribadi dan saya lihat ada kemajuan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan tidak memberikan keutamaan kepada pembangunan projek 'dron' atau 'super dron', sebaliknya terhadap pembangunan usahawan kecil yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, industri 'air mobility' masih diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan tidak membabitkan peruntukan daripada kerajaan.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, apa yang beliau cuba sampaikan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) ketika itu menerusi inisiatif terbabit, adalah merapatkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat.

"Kita kena berani terokai apa sahaja bidang. Hari ini, industri berkenaan (air mobility) berkembang pesat di 26 negara malah ada yang sudah melancarkan projek terbabit dan mereka ada peranan dan undang-undang khusus bagi memastikan industri terbabit terus berkembang.

"Tujuan kita adalah supaya lebih bersedia. Sebagai contoh, kalau ada pihak dari luar nak bangunkan industri untuk merangsang usahawan tempatan, kita pastikan bahawa kita ada undang-undang supaya industri terbabit boleh berkembang dengan maju," katanya.

Berita Harian X