Isnin, 10 Ogos 2020 | 1:49pm
Akmal Nasir. - Foto BERNAMA
Akmal Nasir. - Foto BERNAMA

Polis diminta siasat isu diadukan, bukan siasat pengadu

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat hari ini meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi perhatian kepada isu atau perkara yang dikemukakan pengadu mengenai sebarang tindakan salah laku, bukannya menyiasat pemberi maklumat.

Akmal Nasir (PH-Johor Bahru) membangkitkan demikian bagi mengulas mengenai video tular daripada individu dikenali 'Asri Janggut' menerusi Facebook yang membuat dakwaan mengenai isu premis judi dalam talian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh.

"Berdasarkan kenyataan PDRM semalam, Asri Janggut akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Tindakan sedemikian jika tidak diurus dengan baik boleh menghakis kredibiliti pihak berkuasa, mengurangkan keyakinan orang ramai untuk berkongsi maklumat kepada PDRM serta menghukum pemberi maklumat, sedangkan penjenayah sebenar masih bebas dengan kegiatan haram," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu, isu Asri Janggut wajar dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

"Saya nampak isu ini sepatutnya dibawa ke Parlimen sebab ia membabitkan (integriti) penguat kuasa.

"Kena jaga nama baik PDRM. Jadi saya rasa sepatutnya Menteri yang berkenaan boleh menjelaskan atau pun menjernihkan keadaan itu dengan celahan atau penerangan di Parlimen.

"Untuk peringkat kami (pembangkang), kita akan cuba selitkan dalam sesi perbahasan nanti sebab esok ada Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan, mungkin kita cuba sebut (mencelah)," katanya.

Akmal dengan itu mengulangi gesaan supaya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dikaji semula dan ditambah baik.

Ini katanya, termasuklah ruang perkongsian maklumat yang lebih terbuka dan telus serta melindungi pemberi maklumat daripada tindakan undang-undang akibat pendedahan maklumat yang diberikan.

Asri Janggut atau Mohd Asri Hamid dalam siaran FB Live menerusi akaun FB Hot Burger Malaysia mendakwa mengenai kewujudan premis judi haram dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

PDRM dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendakwa video yang dimuat naik itu berunsur fitnah.

Berita Harian X