Ahad, 9 Ogos 2020 | 5:57pm
SYEIKH Zakaria Othman (dua kanan) dan Abdul Rahman ketika menandatangani perjanjian pelantikan ejen kutipan zakat PKNK, di sini hari ini.- Foto/Noorazura Abdul Rahman
SYEIKH Zakaria Othman (dua kanan) dan Abdul Rahman ketika menandatangani perjanjian pelantikan ejen kutipan zakat PKNK, di sini hari ini.- Foto/Noorazura Abdul Rahman

Selaraskan bantuan makanan penduduk terjejas

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelaraskan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakarian Othman, setakat ini pihaknya belum memutuskan jumlah tambahan bantuan makanan food bank berikutan terdapat bantuan sedia ada yang diagihkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan, 18 Mac lalu.

"Sekarang kerajaan negeri sudah membuat pengagihan makanan di kawasan yang dilaksanakan TEMCO, ia termasuk bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Setakat ini, kita belum terima aduan ada penduduk yang tak makan semasa pelaksanaan perintah ini, kerajaan sudah ambil tindakan pantas membantu penduduk, jika sampai ke tahap diperlukan, LZNK bersedia untuk membuat penambahan food bank di setiap masjid kariah kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Ejen Kutipan Zakat dan Serahan Zakat Perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Serta Anak-Anak Syarikat Kumpulan PKNK di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Datuk Abdul Rahman Abdullah.

Isnin lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan TEMCO di empat mukim, iaitu Mukim Hosba, Mukim Ah, Mukim Binjal (Padang Terap) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap) susulan penularan wabak COVID-19.

Sebelum ini, LZNK sudah memperuntukkan hampir RM17 juta kepada penduduk terjejas akibat PKP.

Sementara itu, Zakaria berkata PKNK menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama di Kedah melantik ejen kutipan zakat dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk membuat tafsiran zakat di anak syarikat kumpulan perbadanan berkenaan.

"PKNK adalah peneraju kepada anak syarikat di Kedah, saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan PKNK atas usaha memusatkan kiraan zakat pendapatan, perniagaan kakitangan anak syarikat di bawah satu payung perbadanan ini.

Terdahulu, Zakaria menerima pembayaran zakat 2019 dari kumpulan PKNK sebanyak RM1.5 juta membabitkan sembilan anak syarikat kumpulan berkenaan.

Berita Harian X