Sabtu, 8 Ogos 2020 | 1:29pm
Hanafiah (tengah) bersama Nik Zah (dua dari kanan), Muhammad Zulhilmi (dua dari kiri), Ahmad Dasuki (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful (HLMT) Mohd Asri Omar (kanan) pada Majlis Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful Penabungan SSPN-i Plus dan Pinjaman PTPTN di Kuala Terengganu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Hanafiah (tengah) bersama Nik Zah (dua dari kanan), Muhammad Zulhilmi (dua dari kiri), Ahmad Dasuki (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful (HLMT) Mohd Asri Omar (kanan) pada Majlis Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful Penabungan SSPN-i Plus dan Pinjaman PTPTN di Kuala Terengganu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Waris terkejut terima manfaat hasil simpanan RM30 sebulan

KUALA TERENGGANU: Dua waris kepada pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) tidak menyangka menerima manfaat perlindungan takaful selepas insan tersayang mereka membuat simpanan secara konsisten RM30 setiap bulan.

Muhammad Zulhilmi Rosli, 25, yang juga anak sulung kepada Allahyarham Normah Ibrahim menerima sebanyak RM140,160 manakala ibu kepada Allahyarham Muhamad Hafiz Baharudin, Nik Zah Mamat, 59, menerima RM42,558.66 hasil simpanan SSPN-i Plus.

Zulhilmi yang bekerja sebagai penyelia tapak di sebuah syarikat swasta tidak menyangka akan menerima jumlah manfaat itu kerana arwah ibunya, seorang guru tidak pernah bercerita kepada sesiapa termasuk bapanya mengenai simpanan berkenaan.

"Kami hanya tahu ibu membuat simpanan apabila menemui sampul mengandungi dokumen berkaitan simpanan SSPN-i Plus ketika mengemas bilik arwah selepas kematiannya pada 19 Mac lalu.

"Memang terkejut, arwah ada membuka enam akaun untuk saya dan lima adik-beradik yang lain bermula Mac 2017. Wang ini akan digunakan untuk menanggung perbelanjaan lima adik yang masih belajar.

"Saya juga akan membuat simpanan sama seperti ibu untuk anak saya pula, sebagai persediaan masa depannya," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Manfaat Perlindungan Takaful Penabungan SSPN-i Plus dan Pinjaman PTPTN di Hotel Paya Bunga, di sini, kelmarin.

Begitu juga Nik Zah tidak menyangka, anaknya ada membuat simpanan untuk dirinya sendiri bermula Mac 2018 dan hanya mengetahui mengenai simpanan itu selepas dihubungi pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Perasaan saya bercampur-baur apabila menerima manfaat ini. Ketika masih hidup, arwah anak keenam daripada tujuh beradik tidak menyusahkan dan berdikari namun selepas tiada, dia meninggalkan wang ini.

"Memang tidak sangka terima jumlah manfaat sebanyak ini dan wang ini akan digunakan untuk saham akhirat diri arwah," katanya yang berasal dari Jerteh, Besut.

Allahyarhamah Normah meninggal dunia pada 19 Mac lalu akibat penyakit kanser manakala Muhamad Hafiz pula maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh pacuan empat roda di simpang lampu isyarat di Jalan Paip, Puncak Alam, Selangor pada 19 Mei lalu.

Majlis berkenaan disempurnakan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hanafiah berkata, SSPN menjadi pilihan kerajaan negeri kerana kerajaan percaya bahawa ia adalah skim terbaik untuk masa depan pendidikan anak.

Katanya, kerajaan negeri sendiri menyalurkan sumbangan berbentuk akaun SSPN-i melalui Skim Permata Sejahtera yang mana kerajaan negeri menyediakan tabungan seawal kelahiran kepada setiap kelahiran baharu di Terengganu bermula 2015.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata PTPTN bukan sahaja menyediakan pinjaman pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi menyediakan skim simpanan bagi tujuan pendidikan iaitu SSPN.

Katanya, skim simpanan pendidikan yang dilaksanakan PTPTN dilengkapi perlindungan takaful kepada pendeposit.

Begitu juga pinjaman PTPTN turut dilindungi takaful bertujuan melindungi pinjaman yang diberikan oleh PTPTN sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh kepada peminjam.

"Sebagai contoh, selain menerima manfaat perlindungan takaful, hutang pinjaman PTPTN Allahyarham Muhammad Hafiz ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap dengan Kepujian sebanyak RM24,238.01 juga selesai sepenuhnya melalui manfaat Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan PTPTN.

"SSPN-i Plus adalah skim simpanan pendidikan yang menawarkan enam pakej simpanan mengikut kemampuan kewangan iaitu dengan penabungan bulanan bermula RM30 hingga RM500.

"Kesedaran untuk menabung bukan hanya untuk masa depan anak tetapi diri sendiri," katanya.

Ahmad Dasuki berkata, PTPTN turut melancarkan Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 sebagai penghargaan terhadap pendeposit yang setia membuat simpanan dalam SSPN-i Plus dan pendeposit baharu SSPN-i Plus.

"Terdapat dua kategori cabutan iaitu Cabutan Tahunan dan Cabutan Bulanan dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM1 juta termasuk hadiah utama kereta Mercedes Benz C200 FL AMG Line manakala hadiah Cabutan Bulanan bagi Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 pula adalah wang tunai.

"Tempoh promosi Cabutan WOW! SSPN-i Plus ini berlangsung bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 bagi Cabutan Bulanan manakala bagi Cabutan Tahunan pula bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2020," katanya.

Berita Harian X