Khamis, 6 Ogos 2020 | 4:13pm
Anggota penguat kuasa KPDNHEP menyita 136 tong gas LPG di sebuah premis dalam kawasan ladang dekat Kunak, Sabah, baru-baru ini. - Foto ihsan KPDNHEP
Anggota penguat kuasa KPDNHEP menyita 136 tong gas LPG di sebuah premis dalam kawasan ladang dekat Kunak, Sabah, baru-baru ini. - Foto ihsan KPDNHEP

Rampasan barang subsidi seludup cecah RM82j

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 2,297 kes ketirisan dan penyeludupan barangan subsidi sepanjang tempoh 2016 sehingga kini.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 itu membabitkan rampasan bernilai RM82 juta.

"Antara barangan subsidi yang dikesan adalah diesel, petrol, gas cecair petroleum (LPG), gula dan tepung gandum.

"Pihak penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang aktiviti penyeludupan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi KPDNHEP di Dewan Rakyat, hari ini.

Alexander berkata, antara langkah yang diambil bagi mengekang aktiviti itu adalah melakukan risikan di lokasi tertentu di sempadan negara.

"Kita turut mengadakan kerjasama strategik dengan agensi lain seperti Kastam Diraja Malaysia (KDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Selain itu, semakan terhadap syarikat pemegang lesen barangan kawalan turut dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya menimbang untuk menawarkan pakej perniagaan francais dengan kos modal pelaburan bersesuaian bagi menarik lebih ramai golongan belia menyertai sektor berkenaan.

Katanya, pakej itu termasuk fi francais, kos ubah suai dan peralatan, stok permulaan serta latihan.

"KPDNHEP berharap cadangan ini dapat menarik lebih ramai golongan belia untuk menceburi bidang perniagaan francais pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X