Rabu, 5 Ogos 2020 | 12:58pm

Teliti semula 'layanan istimewa' terhadap kereta tempatan

KUALA LUMPUR: Dasar Automatif Nasional yang memperuntukkan kenderaan buatan tempatan terus diberikan 'layanan istimewa' sejak 1985 wajar diteliti semula.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata percaturan sedemikian harus diambil dalam usaha memacu taraf dan kualiti perusahaan industri automotif negara.

Mengambil contoh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON), beliau menyifatkan, projek pertama kenderaan nasional itu sebagai 'stumbling block' atau penghalang kepada industri automotif negara.

"Malah, kita kenakan cukai kepada kemasukan kereta import dan PROTON diberikan layanan istimewa oleh kerajaan untuk sekian lama.

"Ini membantutkan banyak industri, khususnya dalam kalangan syarikat kereta berskala besar yang nak melabur di Malaysia, tetapi mereka berpindah ke Thailand.

"Oleh itu, dasar seperti ini harus diteliti semula untuk bangunkan industri automotif negara," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai sama ada kerajaan akan memberi penekanan terhadap pembangunan kereta elektrik berbanding kereta terbang atau 'super dron'.

Wan Junaidi berkata, Malaysia ketika ini mempunyai masalah dari segi dasar dan perundangan berkaitan penggunaan kereta elektrik, sekali gus menyaksikan peralihan kepada mod pengangkutan sedemikian seakan terencat.

"Tidak seperti China yang menyaksikan jutaan motosikal elektrik memenuhi segenap pelosok jalan di republik itu kerana mereka mempunyai perundangan dan dasar tepat.

"Kita perlu selaraskan dasar dan perundangan supaya ia memberi laluan kepada penggunaan, pembangunan dan kemajuan kenderaan elektrik di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi menegaskan, pihaknya tidak mempunyai butiran lanjut berhubung status peruntukan RM20 juta yang sebelum ini dikatakan disumbang untuk membantu pembangunan 'super dron'.

Bagaimanapun, beliau menaruh kepercayaan kementerian yang terbabit dalam menyalurkan dana berkenaan akan memantau kemajuan projek dan status suntikal fiskal itu.

"Di Parlimen, jika saya berbohong, saya boleh dituduh mengelirukan Dewan, maka saya jelaskan apa yang saya tahu.

"Jadi YB (Yang Berhormat) tahu itu, saya berterima kasihlah dan saya galakkan lebih banyak lagi duit kerajaan diberikan untuk pembangunan industri ini.

"Saya tidak boleh memberitahu apa terjadi kepada peruntukan itu juga kerana kalau sudah disumbangkan, saya cukup yakin kementerian yang menyumbang dana ini memantau kemajuannya," katanya menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Menjawab soalan asal Datuk Dr Mohd Hatta Ramli (PH-Lumut) mengenai perkembangan pembangunan industri kereta terbang, Wan Junaidi menjelaskan, istilah itu merujuk kepada 'super dron' mengikut konteks sebenar dalam industri mobiliti udara.

Katanya, industri terbabit mempunyai potensi tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa selain boleh dimanfaatkan pelbagai sektor lain.

"Pada masa ini, projek mobiliti udara ini diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan tidak membabitkan peruntukan kerajaan," katanya.

Pada 28 November tahun lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan projek 'kereta terbang' yang sebelum itu didakwa sebagai inisiatif pihak swasta, menerima suntikan dana kerajaan sebanyak RM20 juta menerusi Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

Laporan PAC berhubung pembangunan mobiliti udara mengesahkan MIGHT, syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), meluluskan pelaburan itu dalam syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (AVSB).

PAC mendapati MIGHT meluluskan pelaburan dalam AVSB sebanyak RM20 juta dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (ketika itu) mengesahkan dana berkenaan disalurkan oleh VentureTech Sdn Bhd (VTSB) yang juga subsidiari milik penuh MIGHT, kepada AVSB pada 1 November 2019.

Sehubungan itu, PAC mengemukakan enam syor penambahbaikan yang antara lain meminta Jabatan Akauntan Negara mengaudit pelaburan RM20 juta terbabit, selain menggesa VTSB memantau perbelanjaan dibuat AVSB bagi memastikan dana berkenaan digunakan bagi tujuan ia diluluskan, dan bukan untuk projek kereta terbang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto BERNAMA
Berita Harian X