Selasa, 4 Ogos 2020 | 9:49pm
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali.

Kenyataan Guan Eng berniat jahat - Azmin

KUALA LUMPUR: Keputusan Malaysia untuk meratifikasi Perjanjian Komprehesif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tanpa menetapkan tempoh khusus proses berkenaan, dibuat ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali, berkata jawapan diberikan beliau ketika penggulungan perbahasan Titah DiRaja di Parlimen adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 iaitu ketika pentadbiran kerajaan PH.

Katanya, pentadbiran PH tidak pernah membuat keputusan untuk menolak CPTPP seperti didakwa oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

"Celahan Yang Berhormat, Lim Guan Eng, ketika sesi penggulungan perbahasan Titah DiRaja yang mempersoalkan jawapan saya berkaitan pendirian Kerajaan mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah bersifat politik dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beberapa perbincangan susulan berkaitan CPTPP di peringkat Jemaah Menteri sepanjang tahun 2019 dan awal tahun 2020 adalah untuk menilai kesediaan Malaysia dalam melengkapkan proses domestik, khususnya dalam memuktamadkan pindaan undang-undang yang sudah dikenal pasti ke arah meratifikasikan CPTPP.

"Bagaimanapun, jemaah Menteri pentadbiran PH tidak pernah membuat keputusan menolak CPTPP seperti didakwa Guan Eng. Justeru, kenyataan dibuatnya adalah mengelirukan, berniat jahat untuk memesongkan fakta sebenar.

"Ia tidak wajar dikeluarkan oleh seorang yang memegang salah satu portfolio penting dalam Kabinet PH pada ketika itu.

"Saya menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Berita Harian X