Selasa, 4 Ogos 2020 | 9:28pm
Sidang Dewan Rakyat terhenti apabila bilangan Ahli Parlimen tidak cukup korum untuk bersidang. Foto NSTP - hiasan
Sidang Dewan Rakyat terhenti apabila bilangan Ahli Parlimen tidak cukup korum untuk bersidang. Foto NSTP - hiasan

Sidang Dewan Rakyat terhenti tidak cukup korum

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat petang ini terhenti seketika petang ini apabila jumlah Ahli Parlimen yang berada di dalam dewan tidak mencukupi korum yang ditetapkan.

Perkara itu berlaku ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin sedang menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.

Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) bangun mencelah dengan membacakan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1) berhubung cukup bilang bagi (korum) Majlis Mesyuarat.

Mengikut peraturan itu, persidangan Dewan Rakyat perlu dihadiri sekurang-kurangnya 26 Ahli Parlimen, tidak termasuk Pengerusi (Yang Dipertua).

Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) kemudian mencelah mengatakan jumlah Ahli Parlimen yang tidak memenuhi korum kerana ada di antaranya menunaikan solat Maghrib, manakala Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) mempertikaikan mengapa peraturan itu dibangkitkan kerana persidangan hampir tamat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian melakukan kiraan sebelum mengarahkan loceng dibunyikan bagi memanggil Ahli Parlimen masuk ke dalam dewan.

Persidangan yang berbaki dua minit kemudian bersambung selepas bilangan Ahli Parlimen mencukupi.

Azhar turut menegur Ahli Parlimen supaya menghargai masa bagi membolehkan mereka membincangkan isu berbangkit.

"Sayangnya banyak masa yang kita buang kerana perkara yang kita buat itu, saya tidak tahu sama ada bermotif politik atau tidak baik," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X