Selasa, 4 Ogos 2020 | 9:08pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

'Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga'

KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Parlimen pembangkang bahawa imej negara terjejas susulan tindakan terhadap agensi berita antarabangsa Al-Jazeera termasuk menyerbu pejabat operasinya di ibu negara, ditangkis oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Isu berkenaan dibangkitkan ketika menteri berkenaan menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi pihak kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Teresa Kok (DAP-Seputeh) dalam celahannya mendakwa tindakan terhadap media itu menjejaskan imej negara, namun disangkal Saifuddin yang kembali menyoal sama ada kerajaan atau dokumentari Al-Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' itu sendiri yang mencemari nama Malaysia.

"Ini bukan jawapan undang-undang, ini jawapan politik. Kita harus ingat simbiosis akibat COVID-19 yang terjalin antara barisan hadapan dan rakyat.

"Apabila ada orang asing mengusik barisan hadapan, ini yang dikatakan cubit paha kiri paha kanan terasa.

"Siapa yang menjejaskan imej negara, dokumentari itu atau siapa?" katanya,

Teresa berkeras mempertikaikan tindakan terhadap Al-Jazeera, namun Saifuddin mengingatkan Timbalan Setiausaha Agung DAP itu supaya berpada-pada dalam berpolitik.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, kemudiannya mengingatkan semua pihak supaya menjaga ketertiban dan kesopanan di Dewan Rakyat.

"Sekarang sudah jam 6.48 petang, kita semua letih jadi kepala pun senang naik berang. Saya rasa kita kena ada 'decorum' sikit, kalau ada masalah lain, ditulis soalan itu saya rasa menteri akan jawab secara bertulis, " katanya.

Menyentuh tindakan terhadap dokumentari 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' yang berlaku sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Saifuddin berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah memulakan proses siasatan.

Katanya, siasatan dibuat terhadap pemegang lesen beberapa syarikat penyiar tempatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kemungkinan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, syarikat penerbitan dari luar negara yang melakukan penggambaran di Malaysia perlu mendapat kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dengan melantik syarikat tempatan mempunyai Lesen Pengeluaran Filem Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (PF) aktif serta sah sebagai penaja tempatan.

"Ada beberapa undang-undang yang ada hubungan secara langsung dan secara tidak langsung dengan filem. Contohnya, dokumentari. Adakah dokumentari itu sama seperti tercatat dalam Akta FINAS atau pengumpulan berita.

"Selain itu, ada juga isu berkaitan hak cipta yang bukan di bawah Akta FINAS tetapi di bawah Akta Hak Cipta 1987. Memandangkan isu ini kompleks, Jemaah Menteri membuat keputusan untuk meminda Akta FINAS," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, aktiviti penerbitan dokumentari dilesenkan melalui Lesen Pengeluaran (PF) di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] dan perlu memohon Surat Perakuan Penggambaran (SPP), tujuh hari sebelum memulakan sesuatu penggambaran.

Katanya, kelulusan siaran video dokumentari yang diterbitkan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Lembaga Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Bidang kuasa FINAS hanya menjurus kepada aktiviti perfileman iaitu pengeluaran, pengedaran dan pemameran seperti termaktub dalam Seksyen 22 (1), Akta FINAS 1981 Akta 244," katanya.

Berita Harian X