Isnin, 3 Ogos 2020 | 7:11pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Kerajaan bantu individu tidak dapat keluar, masuk Sarawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membantu individu yang terjejas susulan keputusan kerajaan Sarawak mengehadkan penerbangan keluar masuk ke negeri itu akibat penularan baharu COVID-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kerajaan sudah menyelesaikan beberapa isu berkaitan pelajar yang akan mendaftar bagi program matrikulasi, menerusi tawaran harga berpatutan serta jadual penerbangan semula.

"Kita sudah jadualkan penerbangan pelajar program matrikulasi (di Sarawak). Mereka akan mendapat layanan dan tambang yang istimewa. Itu akan dilakukan MAS (Malaysia Airlines). Bagi Air Asia, kita dapat tambang 20 peratus lebih murah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong berkata, syarikat penerbangan perlu akur dengan arahan keselamatan kesihatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

"Sebagai menteri, saya pun kadang-kadang pening kerana kerajaan negeri tiba-tiba tidak bagi kapal terbang masuk. Kita sudah siap sedia dengan semua penerbangan dan apabila kita batalkan penerbangan, kita dimaki-hamun.

"Sebab itulah syarikat penerbangan juga dalam keadaan serba salah. Semua persiapan sudah dibuat. Keadaan ini kita perlu akur dengan keputusan kerajaan kerana COVID-19," katanya.

Katanya, bayaran semula mesti dibuat segera oleh syarikat terhadap individu terjejas kerana penerbangan dibatalkan,

"Kedua, membenarkan penjadualan semula penerbangan. Sebelum ini kita tidak benarkan syarikat batalkan penerbangan sebegitu rupa, tapi atas permintaan kerajaan negeri, kita lakukan.

"Oleh kerana COVID-19 kembali menular, saya akan terus memantau. Kita akan bantu semua pihak (yang terjejas). Itu jaminan saya," katanya.

Kekerapan penerbangan MAS antara Kuala Lumpur dan Sibu dikurangkan daripada tiga kali kepada sekali seminggu, manakala penerbangan Kuala Lumpur-Bintulu dikurangkan daripada tiga kali kepada dua kali seminggu.

Penerbangan mingguan AirAsia antara Kuala Lumpur dan Kuching akan dikurangkan daripada 56 kepada 14 penerbangan, Kuching-Bintulu (21 kepada tujuh), Kuching-Miri (21 kepada tujuh), Kuching-Kota Kinabalu (14 kepada tujuh) dan Kuching-Johor (daripada 14 kepada tujuh).

Penerbangan AirAsia antara Sibu dan Kuala Lumpur dikurangkan daripada 21 kepada empat penerbangan, Sibu-Johor Bahru (tujuh kepada empat), Bintulu-Kuala Lumpur (14 kepada tujuh), Miri-Kuala Lumpur (21 kepada tujuh), Miri-Kota Kinabalu (10 kepada lima) dan Miri-Johor Bahru (tiga kepada dua).

Berita Harian X