Isnin, 3 Ogos 2020 | 12:06pm

Internet lemah di kurang 20 peratus kawasan luar bandar

KUALA LUMPUR: Kurang 20 peratus kawasan luar bandar berdepan masalah capaian internet lemah atau berstatus merah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata gangguan internet di pedalaman juga boleh berlaku disebabkan laku musnah atau vandalisme membabitkan gentian optik yang dirosakkan atau set generator dicuri.

Katanya, kementerian sedang mengatasi masalah terbabit dan sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur komunikasi yang menyeluruh melalui penyediaan liputan jalur lebar menggunakan pelbagai teknologi membabitkan talian tetap dan mudah alih.

"Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap, kerajaan melaksanakan Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan Projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh negara.

"Sehingga Jun lalu, sebanyak 639,676 sambungan sudah tersedia manakala 34,781 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat tahun ini, " katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan M Karupaiya (PH-Padang Serai) berhubung jumlah kawasan yang masih lemah capaian internetnya di negara ini.

Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap, Zahidi berkata, inisiatif menaik taraf rantaian berasaskan tembaga kepada rangkaian gantian optik membabitkan 933,724 pelanggan sedia ada di seluruh negara dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini.

Katanya, bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar mudah alih, lalu, sebanyak 2,360 menara komunikasi siap dibina setakat Jun lalu manakala 280 menara masih dalam peringkat pelaksanaan.

"Sebanyak 5,348 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada dinaiktaraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G manakala sebanyak 11 alat pemancar komunikasi dalam peringkat pelaksanaan, " katanya.

Menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS-Jerai) berhubung status Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), Zahidi berkata, ia sedang dilaksanakan dengan tender projek itu sedang dikeluarkan.

"Kita turut menyediakan makmal infrastruktur digital negara bermula 13 Julai hingga 14 Ogos untuk meletak semula sasaran berkaitan pembangunan infrastruktur digital negara melalui projek NFCP dua dan NFCP tiga, " katanya.

Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X