Selasa, 28 Julai 2020 | 5:24pm
Antara penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad
Antara penyokong bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. - Foto NSTP/Hazreen Mohamad

'Baling bahayakan nyawa kita semua'

KUALA LUMPUR: Sesi petang perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini gamat dengan dakwaan ada Ahli Parlimen yang hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta tanpa memakai pelitup muka sebelum kembali menyertai sesi mesyuarat.

RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat 37 selepas Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) mengakhiri perbahasannya untuk mempersoalkan perkara itu.

Katanya, ada gambar tular yang dilihatnya menunjukkan Ahli Parlimen hadir ke mahkamah, antaranya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) tanpa memakai pelitup muka.

"Kemudian Baling duduk di situ (tempat duduknya di Dewan Rakyat). Ini membabitkan kesihatan, nyawa kita semua," katanya yang kemudian dipersoalkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana menggunakan Peraturan Mesyuarat yang salah untuk mencelah perbahasan.

Azalina kemudian meminta Rayer supaya membawa perkara itu kepada Yang Dipertua sebelum ia dibawa kepada Ketua Pengarah Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Jelutong itu, Azeez didakwa hadir di perkarangan mahkamah tanpa memakai pelitup muka sebelum kembali ke Dewan Rakyat, sekali gus mendedahkan Ahli Parlimen lain terhadap COVID-19.

Katanya, hal itu bertentangan dengan gesaan kerajaan termasuk Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) yang kerap menasihati semua rakyat supaya memakai pelitup muka.

Rayer kemudiannya bertanya sama ada setiap Ahli Parlimen mematuhi SOP kerana isu itu membabitkan kesihatan dan nyawa semua Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Azeez kemudian bangun mencelah dengan memberitahu bahawa dirinya memakai pelitup muka dan meminta supaya Ahli Parlimen Jelutong itu tidak menipu.

Berita Harian X